IPOH – Kekangan peruntukan dan kekurangan sumber manusia dikenal pasti sebagai antara punca utama konflik antara manusia dan gajah liar di sekitar Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, isu tersebut masih berulang dan semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan insiden tragis melibatkan seekor anak gajah yang mati digilis lori treler dalam kemalangan kira-kira pukul 2 pagi, Ahad lalu.
Menurutnya, lebih menyayat hati, peristiwa yang mengundang simpati seluruh rakyat Malaysia itu berlaku sempena sambutan Hari Ibu.
"Ketika sidang Parlimen, sama ada melalui ucapan perbahasan atau soalan lisan dan bertulis, saya telah menyuarakan kebimbangan berkenaan perkara ini beberapa kali.
"Malah, permohonan pembaikan jalan JRTB dan pemasangan sehingga lebih 140 unit lampu solar bagi menghalau gajah telah diterima, namun isu ini masih tidak selesai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurut Fathul Huzir, antara kebimbangan yang turut disuarakan termasuklah mengenai isu keselamatan pengguna jalan raya dan pencerobohan habitat hidupan liar itu di Parlimen, termasuk dalam Ucapan Perbahasan Titah Diraja pada 12 Februari lalu.
Katanya, aduan berkaitan insiden gangguan gajah merupakan antara aduan paling kerap diterima sejak awal tahun ini.
"Walaupun agensi seperti Jabatan Perhilitan, JKR, PDRM dan Jabatan Perhutanan sudah bekerjasama, tetapi mereka berdepan masalah kekurangan peruntukan, staf serta sumber makanan gajah yang semakin menyusut.
"Saya berharap tindakan segera dapat kita laksanakan demi menjaga keutuhan dan kelestarian flora dan fauna seperti gajah liar ini,” katanya.
Beliau berkata, isu kekurangan sumber makanan dan gangguan habitat menjadikan laluan JRTB sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan manusia dan gajah.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama semua pihak, satu penyelesaian yang lebih berkesan dan mampan dapat dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan hidup gajah liar di negara ini.