IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan pemantauan di kawasan kemalangan yang meragut nyawa seekor anak gajah jantan di Gerik.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, rondaan berkala itu dilakukan susulan laporan dan hantaran orang awam di media sosial yang mendakwa kelibat seekor gajah masih kelihatan berhampiran lokasi kemalangan.
"Kita memang ada kakitangan yang meronda di sekitar kawasan tersebut. Setakat ini tiada laporan rasmi diterima, namun saya ada lihat di TikTok orang ramai kongsikan kehadiran gajah di kawasan itu.
"Cuma kita tak pasti adakah ia gajah yang sama ataupun tidak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Yusoff berkata, walaupun tidak dapat dipastikan secara tepat, tingkah laku spesies berkenaan yang dikenali sebagai mamalia sosial memungkinkan haiwan tersebut masih berada di lokasi berdekatan.
Kata beliau, sekiranya keadaan itu berlaku, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan luar jangka seperti memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar dan video.
"Saya risau ada yang simpati sangat dan bila nampak gajah. Berhenti nak bergambar pula kononnya dengan ibu gajah yang malang. Ini sangat berbahaya. Tidak mustahil ibu gajah bertindak agresif sebab gajah ini antara spesies yang mempunyai ingatan kuat, lebih-lebih lagi jika melibatkan kehilangan anak.
"Tetapi kita berharap ia akan kembali masuk ke dalam kumpulannya dan terus bergerak. Gajah betina jarang bergerak sendirian. Mereka biasanya berada dalam kumpulan yang dipimpin oleh seekor betina juga," katanya.
Yusoff turut mengulangi peringatan agar pemandu mematuhi had laju khususnya di waktu malam dan mengelak daripada menggunakan hon atau lampu tinggi jika terlihat kumpulan gajah di hadapan.
Bagi kenderaan kecil pula tambahya, Perhilitan menyarankan agar perjalanan di kawasan berisiko dilakukan antara jam 10 pagi hingga 4 petang, waktu di mana pergerakan gajah biasanya lebih rendah dan penglihatan pengguna jalan raya lebih jelas.
"Kalau ternampak gajah, berhenti dulu dan lihat kesesuaian keadaan. Jangan bunyi hon, jangan pasang lampu tinggi dan yang penting sekali jangan campak makanan ke arah gajah. Ini akan menimbulkan lebih banyak masalah," katanya lagi.
Dalam kejadian jam 2.50 pagi pada Ahad, seekor anak gajah jantan mati dirempuh sebuah lori semasa keluar dari hutan untuk melintas laluan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Ibu gajah yang turut berada di lokasi kejadian enggan meninggalkan bangkai anaknya dalam tempoh lama, menyebabkan Perhilitan melepaskan ubat pelali bagi menenangkan haiwan tersebut.