PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk empat jenis komoditi iaitu beras, aksesori elektrik, basikal elektrik dan 'ethyl alcohol' yang dianggarkan bernilai RM772,000 termasuk duti dan cukai dalam beberapa serbuan di Zon Bebas, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Pemangku Pengarah Kastam Negeri Selangor, Tun Norlela Azumi Ramli berkata, kes pertama membabitkan rampasan sebuah kontena yang membawa 10,000 kilogram beras dipercayai diimport tanpa Permit Import dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pada 25 Mac lalu.
"Rampasan itu melibatkan nilai anggaran RM170,000 dan duti serta cukai berjumlah RM68,000.
"Pihak pengimport disyaki membuat pengikraran palsu dalam Borang Kastam 1 dengan mengisytiharkan dagangan sebagai biji selasih, daun dan rempah campuran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tun Norlela Azumi berkata, kes kedua, rampasan aksesori elektrik melibatkan 147,600 unit barangan dalam sebuah kontena, pada 20 Mac lalu.
"Barangan tersebut dipercayai diimport tanpa kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM dengan nilai anggaran RM163,622.50 dan duti serta cukai sebanyak RM57,768.18.
"Modus operandi yang dikesan melibatkan pengikraran tidak benar dan penggunaan kod tarif yang salah bagi mengelakkan keperluan mendapatkan Perakuan Kelulusan," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihak JKDM menahan sebuah kontena yang membawa 492 unit basikal elektrik bernilai RM123,000 di Zon Bebas Pelabuhan Utara, di sini, pada 25 Mac lalu.
"Barangan itu dipercayai tidak mempunyai permit import dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
"Difahamkan, dagangan telah diikrar sebagai alat ganti basikal dalam usaha mengelak syarat permit tersebut," katanya.
Menurutnya, JKDM turut berjaya menahan sebuah kontena yang mengandungi 7,320 liter 'ethyl alcohol' yang dianggarkan bernilai RM73,200 dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM117,229, pada 20 Mac lalu.
"Pemeriksaan mendapati pengimport mengisytiharkan dagangan tersebut sebagai 'Ethanol Solution' untuk mengelak keperluan mendapatkan permit daripada Ketua Pengarah Kastam. Dagangan itu dipercayai diimport dari Eropah," katanya.
Tun Norlela Azumi Ramli berkata, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan tanpa kebenaran dan Seksyen 133(1)(a) akta sama kerana membuat pengikraran tidak benar.
"JKDM menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat," katanya.