Dedi Mulyadi, Gabenor cuba ubah wajah Indonesia

Iklan
Dedi Mulyadi

BANDUNG – Nama Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi kini menjadi bualan hangat di seluruh Indonesia susulan inisiatif beraninya menghantar pelajar ponteng dan bermasalah ke kem latihan ketenteraan.

Langkah itu mencerminkan pendekatan tegas beliau dalam menangani isu disiplin remaja, namun tetap berakar pada semangat reformasi pendidikan dan nilai kemasyarakatan.

Iklan
Iklan

Dedi Mulyadi bukan nama asing dalam arena politik Indonesia. Sebelum dilantik sebagai Gabenor, beliau pernah memegang jawatan Bupati Purwakarta dan dikenali sebagai pemimpin yang mesra rakyat, progresif dan kreatif.

Keunikan gaya kepimpinannya terbukti apabila beliau tidak gentar mencuba pendekatan di luar kebiasaan dalam usaha memperbaiki masyarakat.

Iklan

Baru-baru ini, Jawa Barat (Jabar) memulakan projek rintis melibatkan lebih 270 pelajar bermasalah dihantar ke kem tentera.

Kumpulan pertama itu dikenal pasti kerap ponteng sekolah, ketagih permainan video dan terlibat dalam pergaduhan.

Iklan

Objektif utama adalah untuk membina kembali disiplin, tanggungjawab dan struktur kendiri melalui pendekatan berasaskan latihan ketenteraan.

"Ramai pelajar kita sudah hilang semangat juang dan tanggungjawab. Mereka sanggup berjaga malam bermain permainan, tidur siang dan abaikan sekolah. Ini bukan soal hukuman, tapi soal menyelamatkan generasi muda,” kata Dedi dalam satu sidang media.

Beliau menjelaskan bahawa program ini tetap menjamin kesinambungan pembelajaran formal, malah pelajar hanya akan dihantar ke kem dengan persetujuan ibu bapa.

Dedi menegaskan tentera hanya berperanan sebagai fasilitator pembangunan karakter dan bukannya 'alat hukuman'.

Pembentuk nilai

Dedi Mulyani ketika turun padang untuk meninjau para siswa yang terlibat latihan ketenteraan itu.

Menariknya, Dedi tidak sekadar bertindak sebagai penggubal dasar, malah turut turun padang memantau sendiri keadaan pelajar di kem. Beliau dilihat menyapa pelajar dengan mesra, memberikan motivasi serta mendengar rintihan ibu bapa, sekali gus mempamerkan sisi empati yang jarang dilihat dalam kalangan pemimpin eksekutif negeri.

Dalam dunia politik yang sering dilihat kaku dan terlalu formal, pendekatan Dedi Mulyadi yang pragmatik, kreatif dan berani dianggap menyegarkan.

Beliau bukan sekadar seorang pentadbir, tetapi pembentuk nilai yang menjadikan kepimpinan beliau relevan bukan hanya untuk Jabar, tetapi seluruh negara.

Latar belakang orang susah

Dedi Mulyadi menjadi Gabenor yang mengangkat suara rakyat dari desa hingga ke peringkat nasional.

Dedi dilahirkan pada 11 April 1971 di Subang dalam keluarga serba kekurangan, kehidupan kecil Dedi dibaluti keperitan.

Bapanya, Ahmad Suryana, merupakan pesara tentera yang terpaksa meninggalkan kerjaya kerana keadaan kesihatannya. Ibunya, Karsiti, menjadi tulang belakang keluarga sebagai penoreh dan petani kecil.

Makanan harian keluarganya hanyalah nasi berlaukkan garam dan bawang serta ikan masin hanya mampu dinikmati pada awal bulan.

Namun, ketabahan hidup memupuk semangat berdikari Dedi.

Sejak kecil, beliau menjual es mambo (ais krim batang), mengutip kayu api dan menjadi kuli angkut batu-bata untuk membeli baju raya. Beliau juga pernah menjadi tukang ojek demi menampung yuran persekolahan.

Usaha menyertai tentera untuk mengikut jejak bapanya gagal kerana bentuk fizikalnya. Peluang menyambung pengajian di Universiti Padjadjaran juga terlepas akibat kesempitan wang. Namun beliau tidak berputus asa.

Dedi akhirnya menjejakkan kaki ke Sekolah Tinggi Ilmu Hukum (STIH) Purwakarta sambil menjual gorengan dan menginap di bilik yang disediakan untuk persatuan pelajar.

Pengalaman hidup berharga sebagai anak petani miskin yang pernah menjual biri-biri untuk yuran sekolah akhirnya berjaya mengangkat status Dedi. Beliau menjadi Gabenor yang mengangkat suara rakyat dari desa hingga ke peringkat nasional.

Beliau bukan sekadar pemimpin politik, tetapi ikon kecekalan yang membuktikan bahawa kepimpinan tidak semata-mata bergantung kepada warisan kuasa sebaliknya ia memerlukan kesungguhan nilai dan keberanian seseorang individu untuk mengubah hidup menjadi lebih baik. - Agensi