SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menilai semula amalan pelantikan pesara ke jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi di Malaysia selaras dengan seruan komitmennya terhadap reformasi dalam perkhidmatan awam.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan, walaupun pengalaman kerjaya itu berharga, namun pelantikan semula boleh merencatkan pembaharuan dan menghalang kebangkitan pemimpin muda yang lebih progresif.
"Isu paling kritikal dihadapi oleh perkhidmatan awam kita hari ini ialah ketiadaan perancangan penggantian yang sistematik.
"Melanjutkan tempoh kepimpinan yang sama melebihi usia persaraan wajib, boleh membawa kepada budaya pentadbiran bersifat statik dan menghalang kemajuan.
"Ia membantutkan pengenalan idea baharu, menyekat inovasi dan mengetepikan bakat yang sedang berkembang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak bersetuju dengan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.
Beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’.
Pada Jumaat, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa Selasa ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan semula Azam untuk memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.
Justeru, Dzulkifli yang juga Presiden Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) berkata, selari dengan kenyataan Nurul Izzah, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap seruan tersebut agar penjawat awam lebih berani dan berprinsip untuk merealisasikan perubahan institusi.
"Amalan ini memupuk ketidakcekapan dan rasuah, kerana kesetiaan mungkin diutamakan berbanding merit serta ketelusan. Ketiadaan perancangan penggantian yang berkesan akan merugikan masa depan institusi kita.
"Kepimpinan sektor awam bukanlah hak seumur hidup. Tadbir urus yang berkesan memerlukan kepimpinan bersifat responsif dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.
"Jadi, saya melahirkan kebimbangan bahawa pelantikan semula penjawat awam melebihi usia persaraan boleh melemahkan pembaharuan kepimpinan dan bertentangan dengan tujuan sebenar reformasi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, perubahan sukar dicapai sekiranya individu sama terus dilantik semula ke jawatan tinggi secara berulang, kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran.
Dzulkifli turut menekankan kepentingan memperkasa pemimpin generasi baharu yang membawa idea inovatif, pemikiran kritikal dan pendekatan berasaskan pencapaian.
"Ingat, kegagalan untuk bertindak sekarang berisiko membawa negara ke arah kemunduran,” nasihat beliau.