Kenangan terhadap ibu tidak pernah luntur - Tun M

Iklan
Dr Mahathir melihat gambar ibunya, Wan Tempawan.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kenangan terhadap arwah ibunya kekal utuh walaupun usianya kini hampir mencecah 100 tahun.

Menurut beliau, arwah ibunya, Wan Tempawan Wan Hanapi meninggal dunia pada tahun 1965 ketika beliau berusia 40 tahun.

Iklan
Iklan

"Walaupun saya berumur hampir 100 tahun, kenangan saya terhadap ibu tidak pernah luntur,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, kasih sayang dan didikan ibunya banyak membentuk nilai dalam dirinya sehingga ke hari ini.

Iklan

"Ibu banyak menyemai nilai yang membentuk diri saya. Pesanan ibu saya pegang sehingga ke hari ini, iaitu sentiasa bersederhana dan tidak membangga diri,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kata-kata dan doa ibu menjadi panduan serta pelindung kepada anak-anak.

Iklan

"Begitulah hati dan rasa seorang ibu, bukan sekadar membesarkan anaknya, malah jiwa dan nilai hidup dilakar oleh mereka. Kata-kata mereka menjadi panduan dan setiap doa mereka menjadi pelindung,” katanya.

Dr Mahathir turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan ibu-ibu masa kini yang berusaha membahagikan masa antara mencari rezeki dan mendidik anak-anak.

Wajah ibu Dr Mahathir.

"Ibu-ibu hari ini berkorban rasa, membahagikan masa mencari rezeki dan mendidik anak-anak. Amat beruntung anak-anak ini kerana dapat kasih sayang ibu. Ibu itu keberanian bagi sebuah perjuangan,” katanya.

Jelas beliau, kekuatan seorang ibu disulam dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

"Ibu juga satu kekuatan yang disulam dengan kasih sayang. Buat yang telah pergi, kita titipkan doa agar mereka tenang dan damai di sana. Berehatlah, perjuanganmu telah selesai.

"Bagi yang masih ada, teruskan perjuangan,” katanya.