Penyeludup dadah di Sungai Golok 'kepanasan'

Iklan
Mat Zani

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini menggunakan teknologi canggih dalam usaha membanteras penyeludupan dadah di sempadan negara, terutamanya di lokasi 'panas' seperti Sungai Golok, Kelantan.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya telah menggerakkan elemen taktikal seperti mesin pengimbas bergerak untuk mengesan dadah yang disembunyikan dalam kenderaan.

Iklan
Iklan

"Begitu juga dengan penggunaan teknologi pemantauan seperti dron serta kamera pengawasan beresolusi tinggi," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mat Zani berkata, usaha itu adalah bagi memperkukuh kawalan kawasan sempadan yang terdedah kepada aktiviti jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan dadah.

Iklan

"Manakala tindakan strategik yang telah dilaksanakan adalah kerjasama rentas agensi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain," katanya.

Mat Zani berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menghalang kemasukan dadah dan menangani aktiviti penyeludupan dadah, termasuk yang melibatkan 15 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Iklan

"Antara langkah komprehensif yang telah dilaksanakan adalah mengukuhkan unit Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) yg berperanan dalam melaksanakan risikan maklumat terhadap sindiket-sindiket dadah di sempadan negara," katanya.

Beliau berkata, keperluan bukan sahaja pada aspek penambahan anggota, tetapi lebih penting ialah pendekatan bersepadu dan penggunaan teknologi canggih serta risikan terancang.

"Kita juga memerlukan sistem pemprofiling awal bagi menimbulkan pengenalan diri ketua-ketua sindiket atau dalang dan ahlinya yang dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah itu.

"Sistem ini boleh mempercepatkan proses risikan sehingga tindakan 'executive' seperti tangkapan dan rampasan dibuat," katanya.

Menurutnya, langkah jangka panjang termasuklah pembangunan infrastruktur kawalan sempadan yang lebih kukuh, peningkatan keupayaan aset rondaan, dan pelaksanaan operasi berterusan secara taktikal di kawasan 'panas' penyeludupan.

"Kaedah penyeludupan dadah melalui pangkalan haram bukan sesuatu yang baharu, namun ia semakin mencabar dengan penggunaan kenderaan yang diubah suai dan sukar dikesan," katanya.

Mat Zani berkata, JSJN memandang serius perkara ini dan akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain termasuk dari negara jiran.

"Kejayaan membanteras jenayah ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan, risikan, serta sokongan masyarakat," ujarnya.

Pada Ahad, media melaporkan sekurang-kurangnya 15 pangkalan haram yang terletak di sepanjang Sungai Golok di Kelantan, dikesan masih menjadi laluan penyeludupan oleh sindiket dadah dari Thailand.

Penyeludupan dadah dari negara jiran yang dihantar secara merentasi Sungai Golok itu akan 'disambut' transporter yang dibayar upah, sekurang-kurangnya RM500 sehingga RM1,200 bagi setiap kilogram mengikut jenis dadah.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, ketika mendedahkan situasi itu, dilaporkan berkata, dadah itu kemudian dibawa menggunakan motosikal atau kereta termasuk kenderaan mewah, selain kenderaan pacuan empat roda dalam usaha untuk mengelirukan pihak berkuasa.