BATU PAHAT - Kenderaan rasmi milik Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dilaporkan dirosakkan oleh individu tidak dikenali pada pagi Sabtu.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi apabila beberapa bahagian Toyota Estima milik pejabatnya itu seperti cermin dan lampu dipecahkan oleh suspek yang menaiki motosikal.
"Pegawai saya cuba mengejar pelaku namun tidak berjaya.
"Bagaimanapun, nombor plat motosikal suspek sempat direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor memberitahu laporan polis telah dibuat sejurus kejadian di Balai Polis Yong Peng dan pihak polis bertindak pantas dengan membuat tangkapan pada hari yang sama.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat atas tindakan pantas mereka,” ujarnya.
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai tidak wajar, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkenaan turut menyeru agar semua pihak berpolitik secara matang dan tidak bersikap taasub hingga mencetuskan tindakan ekstrem.
"Saya berharap insiden seperti ini tidak berulang terhadap sesiapa, khususnya pemimpin politik.
"Kita perlu mengurus perbezaan pandangan secara berhemah dan bijaksana,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, keharmonian dan tatasusila budaya negara ini perlu dipelihara dan sebarang bentuk keganasan atau provokasi harus ditolak.