Pentingnya simpanan akhirat untuk anak-anak

Iklan
Duit raya anak-anak wajib dizakatkan apabila ia memenuhi syarat-syarat zakat, termasuk cukup nisab dan haul. Foto hiasan

MERIAH betul Merak Jalanan tengok anak-anak zaman sekarang kumpul banyak duit raya. Ada dapat RM200, RM500, yang empat angka pun ramai. Tak hairanlah setiap kali Aidilfitri, merekalah yang paling seronok sebab dah faham nilai duit.

Yang pening ialah mak ayah macam Merak Jalanan. Selain beri duit raya, kita juga kena fikir nak buat apa dengan duit raya anak. Kalau tak diurus dengan betul, alamat cepat habis macam air mengalir.

Iklan
Iklan

Di Malaysia ini, antara cara paling popular untuk ‘selamatkan’ duit raya anak ialah buka akaun bank atau beli emas. Baguslah dapat menyimpan untuk masa depan.

Cuma Merak Jalanan perhatikan ada kala kita terlalu risaukan tentang simpanan masa depan mereka di dunia, tetapi terlupa ‘simpanan’ masa depan mereka di akhirat.

Iklan

Istilah simpanan akhirat sering digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada amalan atau sumbangan yang pahalanya berterusan hingga selepas kematian, mirip dengan konsep sedekah jariah.

Rasulullah bersabda:"Jika manusia meninggal, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.” (HR. Muslim)

Iklan

Simpanan akhirat yang wajib adalah zakat. Duit raya anak-anak wajib dizakatkan apabila ia memenuhi syarat-syarat zakat, termasuk cukup nisab dan haul. Nisab zakat wang tunai biasanya bersamaan nilai 85 gram emas atau sekitar RM29,000 bergantung pada harga semasa.

Contoh kalau anak ada simpan duit raya RM5,000 dan tidak bertambah atau berubah untuk setahun penuh, tidak wajib zakat kerana belum cukup nisab.

Tapi kalau dia ada RM30,000 dari simpanan tetap, hibah dan lain-lain serta disimpan setahun penuh, wajib zakat sebanyak 2.5 peratus.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, menjadi tanggungjawab kita untuk menyempurnakan ibadah ini bagi pihak mereka.

Namun jika belum cukup nisab, wang anak-anak itu juga boleh diwakafkan kepada masjid, surau, pondok, tahfiz dan kerja-kerja kebajikan.

Bayangkan setiap amal ibadah yang dilakukan, akan mengalir juga pahalanya kepada anak-anak. Ibu bapa turut mendapat berkat, menarik tangan kita ke syurga dengan izinNYA. Wakaf tidak perlu banyak, RM10 sudah memadai sebagai permulaan.

Dengan mempersiapkan simpanan akhirat untuk anak, orang tua tidak hanya menjamin kebahagiaan mereka di dunia, tetapi juga di akhirat kelak. Inilah yang dikatakan ibu bapa yang hebat!

Kalau ada apa-apa nak tanya pasal zakat, wakaf, atau apa-apa isu agama atau kewangan Islam, Merak Jalanan nasihatkan agar jangan segan, jangan malu nak bertanya. Pusat Pungutan Zakat-MAIWP kan ada.

Merak Jalanan harap, semoga usaha kita jadi saham akhirat yang berterusan untuk anak-anak, insya-ALLAH.