NEW DELHI/ISLAMABAD – Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak apabila kedua-dua negara saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja diumumkan pada Sabtu, selepas empat hari serangan rentas sempadan yang mengorbankan banyak nyawa.
Gencatan senjata yang dimeterai dengan bantuan Amerika Syarikat bertujuan meredakan konflik bersenjata yang tercetus selepas serangan militan di Pahalgam, Kashmir yang mengorbankan 25 pelancong India dan seorang warganegara Nepal pada 22 April lalu.
Beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata, penduduk di Srinagar dan Jammu yang terletak di kawasan pentadbiran India di Kashmir melaporkan terdengar bunyi letupan serta melihat cahaya terang di langit.
Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata, terdapat pelanggaran berulang terhadap persefahaman yang telah dicapai.
Menurutnya, angkatan tentera India memberikan tindak balas sewajarnya dan beliau menggesa Pakistan menghentikan pelanggaran tersebut.
Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam kenyataan balas menafikan dakwaan India dan menegaskan bahawa pihaknya komited sepenuhnya terhadap pelaksanaan gencatan senjata.
Jurucakap kementerian itu berkata, Pakistan tetap berpegang kepada persefahaman tersebut walaupun terdapat pelanggaran yang didakwa dilakukan oleh India di beberapa kawasan.
Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan Pakistan sedang menangani keadaan dengan penuh tanggungjawab dan menahan diri, serta menyeru agar sebarang isu berkaitan pelaksanaan gencatan senjata diselesaikan melalui komunikasi di peringkat yang sesuai.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan kejayaan rundingan tersebut menerusi platform Truth Social dan memaklumkan bahawa perjanjian itu dicapai hasil perbincangan intensif selama 48 jam bersama Setiausaha Negara Marco Rubio, Naib Presiden, JD Vance, serta Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Pakistan turut mengesahkan perjanjian berkenaan dan memuji lebih 30 negara yang membantu usaha diplomasi tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyambut baik langkah tersebut dan menyeru kedua-dua negara mengekalkan gencatan senjata.
Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer turut memaklumkan bahawa United Kingdom telah terlibat dalam rundingan selama beberapa hari melalui Menteri Luar, David Lammy, yang berhubung dengan kedua-dua pihak.
Konflik ini merupakan yang paling serius antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu dengan penggunaan dron, peluru berpandu dan artileri berat selepas India menyerang sasaran di Pakistan dan Pakistan-administered Kashmir sebagai membalas serangan militan di Pahalgam.
Pakistan menafikan sebarang pembabitan dalam serangan tersebut dan menuduh India melakukan serangan tidak berprovokasi.
Kementerian Pertahanan Pakistan mendakwa serangan rentas sempadan oleh India sejak Rabu lalu telah menyebabkan 36 kematian di Pakistan dan kawasan yang ditadbir Pakistan di Kashmir manakala pihak tentera India melaporkan sekurang-kurangnya 21 kematian orang awam akibat serangan balas Pakistan.
Kashmir kekal menjadi titik panas antara India dan Pakistan sejak kedua-dua negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1947, dengan kedua-duanya menuntut wilayah tersebut sepenuhnya namun hanya mentadbir sebahagian sahaja.
Pertikaian ini terus mencetuskan kebimbangan antarabangsa berikutan status kedua-dua negara sebagai kuasa nuklear. – BBC