SERDANG – Biarpun sudah banyak kali memberikan penjelasan, namun Nurul Izzah Anwar tidak boleh lari daripada persepsi wujud unsur nepotisme selepas Puteri Reformasi itu memutuskan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei ini.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli percaya Nurul Izzah mempunyai sebab tersendiri mengapa bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR kali ini.
Justeru, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan menegaskan parti perlu bersedia menjawab isu berkenaan kepada rakyat, termasuk mereka yang membuat serangan dari luar parti termasuk pembangkang.
"Apabila Izzah bertanding kerusi Timbalan Presiden, parti tidak boleh lari daripada isu nepotisme biarpun masing-masing akan ada hujah sendiri.
"Terpulang kepada Nurul Izzah untuk berhujah. Saya tidak berniat memanjangkan isu ini tetapi saya bimbang persepsi rakyat di luar,” katanya dalam program audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sebagai parti dalam kerajaan, PKR tidak boleh lari daripada tanggapan tersebut yang turut dicerminkan oleh akar umbi dan menjadi bualan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
"Isu nepotisme ini akan terus berlegar. Kita beri apa pun jawapan, tetapi kena berhati-hati jika jawapan itu dilihat lebih sudu daripada kuah,” katanya.
Rafizi turut memberi contoh sebuah negara di Asia Tengah di mana Presiden dan Perdana Menteri merupakan suami isteri yang dipilih melalui pilihan raya.
"Itu tidak menghentikan gelak tawa seluruh dunia,” katanya.
Menurut beliau, Izzah juga perlu bersedia menjadi ‘panglima perang’ dan orang perantaraan dengan parti-parti sahabat dalam Kerajaan Madani sekiranya beliau menang perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR nanti.
Rafizi berkata, isu sekarang bukan sekadar tawaran sebagai calon, tetapi tentang tanggungjawab yang mampu digalas sebaik sahaja memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Nurul Izzah mampu menggalas tugas itu sebagai ‘panglima perang’ yang keras.
"Kalau Nurul Izzah menjadi Timbalan Presiden selepas ini, dia perlu menggalas tanggungjawab menjadi ‘kaki pukul’ melawan ‘walaun’. Saya tiada masalah sekiranya orang lain boleh menggalas tanggungjawab itu. Saya berbesar hati, silakan.
"Kedua, apabila menggalas tugas Timbalan Presiden, individu itu perlu menjadi perunding kerusi parti dan yang ketiga menjadi panglima perang semasa pilihan raya.
"Peranan itu perlu dipikul dengan baik oleh Timbalan Presiden. Kalau Izzah yakin dan bersedia, mempunyai rancangan yang baik dan menang, maka saya yakin kita akan sokong beramai-ramai,” katanya.