GEORGE TOWN - Empat premis makanan di sekitar daerah Timur Laut diarah tutup serta-merta selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Jumaat.
Operasi yang diketuai Jabatan Pelesenan MBPP itu turut disertai pegawai penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut.
Menurut kenyataan MBPP, antara aspek pemeriksaan yang diberi keutamaan ialah lesen perniagaan sah laku, tahap kebersihan premis, pematuhan pengendali makanan, larangan merokok di premis serta permit menyimpan barangan kawalan.
Selain itu, aspek pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta Akta Cukai Pendapatan 1967 turut diberi penekanan.
"Tindakan penutupan selama 14 hari terhadap empat premis terbabit dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991, selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan di bawah standard ditetapkan dan penemuan najis tikus di kawasan stor, penyimpanan makanan beku serta dapur,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Dalam operasi sama, KPDN turut mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM1,900 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mengeluarkan dua notis melibatkan kesalahan pelanggan merokok di premis makanan dengan jumlah kompaun RM500.
Sementara itu, LHDN turut memperoleh maklumat berkaitan percukaian pemilik dan penyewa premis untuk tindakan lanjut berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam pada itu, MBPP menegaskan bahawa operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis makanan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan demi kesejahteraan pengguna.