JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat dikompaun RM1,000 selepas terlibat dalam kegiatan membuang sampah dalam sungai yang tular menerusi rakaman kamera papan pemuka sejak Rabu lalu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tindakan itu diambil hasil siasatan yang dijalankan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurutnya, kejadian dikesan berlaku di persimpangan masuk ke Kampung Makmur, Plentong – Jalan Kemunting, Taman Sri Plentong dan siasatan mendapati dua syarikat dikenal pasti terlibat dalam kegiatan berkenaan.
"Pada 10 Mei, pihak penguat kuasa MBJB mengeluarkan dua kompaun terhadap syarikat terlibat di bawah Seksyen 47(1)(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dengan jumlah masing-masing bernilai RM500.
"SWCorp juga sedang meneliti tindakan susulan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membolehkan kompaun lebih tinggi dikenakan serta pendakwaan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan, kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang mencemarkan imej Johor serta membahayakan alam sekitar.
Ujarnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas menunjukkan kurangnya kesedaran sivik dan menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau SWCorp sekiranya mengesan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram.
"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan pengurusan sisa.
"Kita akan terus bertindak tegas demi memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar negeri ini sentiasa terpelihara.
"Kebersihan sungai, jalan raya dan persekitaran adalah tanggungjawab bersama. Marilah kita berganding bahu memastikan Johor kekal bersih, selamat dan sejahtera,” katanya.