PH Johor perlu buat pendirian, kerjasama dengan BN atau gerak solo

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Khaled Nordin mengenai PRN Johor. Gambar kecil: ZUHAN

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor perlu segera membuat ketetapan sama ada menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersama Barisan Nasional (BN) atau bergerak secara solo.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, keputusan itu penting bagi membolehkan PH Johor memfokuskan persiapan gerak kerja menghadapi PRN yang diramal berlangsung seawal tahun depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah awal juga perlu diambil untuk membincangkan soal agihan kerusi sekiranya kerjasama dengan BN diteruskan atau sebaliknya.

"Amanah Johor melihat berdasarkan perkembangan semasa negara, terdapat beberapa kemungkinan yang perlu diperhalusi PH Johor sekarang.

Iklan

"Kemungkinan pertama, gabungan bersama BN Johor. Ini memerlukan komitmen untuk membawa agenda pembahagian kerusi yang adil antara PH dan BN."

"Kemungkinan kedua, PH bertanding secara bersendirian tanpa sebarang kerjasama. Apa jua keputusan, ia perlu dimuktamadkan segera kerana masa semakin suntuk untuk mendekati rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Desas-desus PRN Johor dijangka berlangsung pertengahan tahun depan semakin kuat susulan gerak kerja kerajaan negeri yang dilihat menjurus ke arah menghadapi pilihan raya.

Isnin lalu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali turut meramalkan PRN Johor boleh berlaku seawal tahun depan dan menggesa seluruh jentera parti memperkukuh gerak kerja akar umbi.

Beliau berkata, kekuatan jentera dan akar umbi perlu digembleng sama ada DAP bertanding atas tiket Kerajaan Perpaduan atau PH.

Pada Khamis, UMNO menyatakan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN lebih awal.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun penggal rasmi kerajaan negeri hanya berakhir pada Mac 2027, UMNO akan terus bersiap siaga berdasarkan situasi semasa.