TELUK INTAN – Sepuluh projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap dibina dan memberi manfaat kepada kira-kira 8,670 penduduk di Kampung Bahagia, di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek menaik taraf kemudahan asas tersebut, termasuk dewan komuniti dan pusat pembuangan sampah, yang siap sepenuhnya pada 31 Mac lalu.
"Projek lain yang dilaksanakan termasuk menaik taraf jeti nelayan sebanyak RM667,000, menaik taraf gelanggang futsal (RM697,000), pengindahan Geghotak Bahagia (RM480,000), naik taraf sistem pengairan dan saliran (RM200,000), serta baik pulih landskap (RM200,000).
"Selain itu, turut dilaksanakan ialah pembinaan mercu tanda (RM96,000) dan menaik taraf pusat pengumpulan sampah (Pembinaan Pusat Sisa Lestari) sebanyak RM70,000,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani hari ini.
Beliau berkata, Perbadanan PR1MA Malaysia turut menyumbang sebanyak RM91,810 melalui pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong salah satu projek di bawah inisiatif tersebut.
"Ia merangkumi kerja membaik pulih bumbung, tiang ‘galvanized’ dan pemasangan susur tangan di Jeti Nelayan Kampung Bahagia yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan di sini.
"Selain menyokong aktiviti harian nelayan, jeti ini juga berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor perikanan dan industri pelancongan desa.
"Jeti ini akan memberi manfaat kepada 76 nelayan di Kampung Bahagia, dan terdapat pembinaan jambatan baharu di bawah Kementerian Kerja Raya yang akan menghubungkan kampung ini dengan kawasan bandar,” katanya.