SHAH ALAM - Rata-rata pengguna di media sosial menobatkan durian kampung sebagai raja buah kegemaran mereka.
Berdasarkan kaji selidik di platform media sosial Facebook Sinar Harian, sebanyak 675 daripada 935 responden memilih durian kampung sebagai pilihan nombor satu.
Sebanyak 206 pengundi pula memberi pendapat musang king yang berjaya menawan hati penggemarnya.
Setakat jam 1 petang Sabtu, menurut kaji selidik di aplikasi X, rata-rata turut memilih durian kampung sebagai pilihan.
Bagaimanapun berbeza di Instagram yang merekodkan 54 peratus responden memilih musang king sebagai pilihan yang bertakhta di hati ramai.
Seorang pengguna Facebook, Maulana Yusof berkata, durian kampung dianggap jenis terbaik kerana tidak 'dikahwinkan' dan mempunyai rasa yang original.
"Dari dulu suka makan durian kampung sebab tak suka sangat isi banyak macam durian kahwin. Suka rasa isi durian yang manis-manis dan pahit sedikit," ujar Satariah Yusoff pula.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Karipap Oksigen mengatakan durian kampung paling sedap untuk dinikmati kerana mempunyai tekstur yang lembut dan halus.
"Durian kampung paling best. Tekstur dia lembut dan halus lemak berkrim. Yang betul-betul sedap tiada durian kahwin yang boleh lawan," ujarnya.