Imigresen gempur bangunan terbengkalai, 33 PATI ditahan

Iklan
Sebahagian PATI ditahan selepas JIM menggempur sebuah bangunan terbengkalai di Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu. Foto: JIM

SERDANG - Seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah bangunan terbengkalai di Seri Kembangan di sini pada Sabtu.

JIM dalam satu kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan sekitar jam 12.45 pagi itu menyasarkan sebuah bangunan terbengkalai yang dijadikan penempatan haram oleh warga asing.

Iklan
Iklan

Katanya, operasi tersebut melibatkan 40 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Petugas JIM memeriksa dokumen perjalanan dan pas kerja warga asing.Foto: JIM

"Daripada 73 orang warga asing yang diperiksa, seramai 33 individu berusia antara 25 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Iklan

"Mereka terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan itu memaklumkan, siasatan awal mendapati lokasi tersebut telah diduduki kumpulan PATI sejak 2020.

Iklan

Katanya, kemudahan asas seperti bekalan air serta elektrik dipercayai disambung secara haram.

Kemudahan asas seperti bekalan air serta elektrik dipercayai disambung secara haram.Foto: JIM.

"Tindakan ini adalah hasil aduan awam dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

"Semua tahanan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tegasnya, JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara.