Nurul Izzah hadapi cabaran tingkat jisim otot

Iklan
Nurul Izzah (kanan) dalam usaha menyesuaikan diri dengan program peningkatan jisim otot yang dirangka bagi mencapai berat ideal 54kg.

RATU berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakui berdepan cabaran besar dalam usaha menyesuaikan diri dengan program peningkatan jisim otot yang dirangka bagi mencapai berat ideal 54 kilogram (kg) untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Nurul Izzah yang dikenali sebagai The Pocket Rocketwomen berkata, perubahan gaya hidup terutama dari segi pemakanan dan latihan intensif merupakan antara halangan utama yang perlu dihadapi, namun kini beliau semakin selesa dengan rutin baharu tersebut.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan program ini walaupun pada mulanya agak mencabar. Antara cabaran utama ialah menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup, termasuk jadual pemakanan yang amat ketat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya (ASUM) 2024 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada Khamis.

Menurut Nurul Izzah, berat badannya kini telah meningkat kepada 52kg hasil pematuhan terhadap pelan pemakanan khas serta latihan gimnasium empat kali seminggu yang memberi fokus kepada kekuatan otot kaki – elemen penting dalam disiplin pecut trek.

Iklan

"Selain program pemakanan dan latihan yang intensif, saya juga banyak belajar menyesuaikan mindset untuk terus kekal fokus dalam misi jangka panjang musim ini,” jelasnya lagi.

Pada majlis ASUM 2024, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah berusia 21 tahun itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawati Pelajar (Lencana Biru) dan membawa pulang wang tunai RM1,500.

Iklan

Lebih manis, Nurul Izzah turut menerima anugerah khas dan insentif bernilai RM10,000 selepas memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Olimpik Paris serta mencatat rekod baharu Asia dan kebangsaan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia.