MELAKA - Keadaan bayi lelaki comel yang menjadi mangsa dera kini menunjukkan perkembangan positif apabila hanya tinggal satu wayar di kepalanya berbanding keadaannya ketika pertama kali dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, beliau sebak melihat kekuatan bayi tersebut yang masih berjuang untuk terus hidup walaupun menjadi mangsa penderaan.
Menurutnya, keadaan bayi itu kini jauh lebih baik apabila tiada lagi banyak wayar berselirat pada badannya berbanding ketika hari pertama dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu.
"Berita gembira yang kita terima apabila doktor memaklumkan bahawa peluang bayi untuk sembuh sangat tinggi. Kita berharap semua dapat terus mendoakan kesembuhan bayi ini.
"Saya melawat bayi itu kira-kira jam 3 petang tadi dan melihat hanya satu wayar sahaja masih berada di kepalanya,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Jelasnya, doktor yang merawat turut memaklumkan bahawa bayi tersebut aktif dan kerap menyusu, meskipun terpaksa menahan kesakitan akibat mengalami sedikit pendarahan dalam kepala.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu mengesahkan bahawa datuk kepada bayi berkenaan telah menziarahi cucunya di Wad PICU.
Ujarnya, dalam pertemuan ringkas bersama lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu, individu berkenaan sukar mempercayai bahawa anak lelakinya, iaitu bapa kepada bayi tersebut, sanggup bertindak sedemikian rupa.
Menurut Kalsom, beliau hanya mendengar luahan lelaki itu dan tidak mencampuri urusan siasatan yang kini sedang dijalankan pihak berkuasa.
"Saya bertemu datuknya di luar PICU ketika mahu melihat keadaan bayi yang semakin menunjukkan perkembangan baik.
"Dalam sesi itu, datuknya kelihatan amat terkesan dan memberitahu bahawa dia tidak menyangka anaknya sanggup memperlakukan cucunya sedemikian,” ujarnya lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa bayi terbabit sedang bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera.
Menurut sumber, kejadian itu terbongkar selepas si ibu membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah dengan mendakwa bayi tersebut mengalami sawan.
Bagaimanapun, bayi itu kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil pemeriksaan doktor pakar menemui kesan lebam dan luka pada badan serta leher bayi, selain terdapat pendarahan lama dan baharu dalam kepala.
"Doktor yang merawat telah membuat laporan polis selepas mengesyaki bayi tersebut menjadi mangsa penderaan.
"Difahamkan juga, si bapa dipercayai telah menepuk dada bayi beberapa kali kerana berang dengan tangisannya, manakala si ibu pula disyaki telah menghempas bayi itu ke lantai,” kata sumber berkenaan.
Susulan insiden menyayat hati itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan bahawa pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 tahun dan tidak bekerja telah ditahan.
Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki mendera bayi mereka.