PNSB, SPRM pupuk budaya integriti dalam komuniti

Iklan
PNSB dan SPRM menjayakan dua program bagi memupuk budaya integriti dan menangani gejala rasuah melalui pendidikan dan komunikasi sosial secara inklusif.

BANTING - [DIKEMAS KINI] Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melaksanakan program Anti Rasuah Key Communicator dan Wira Anti Rasuah (WAR) bagi memupuk budaya integriti dan menangani gejala rasuah melalui pendidikan dan komunikasi sosial secara inklusif di sini pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, program dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah dalam kalangan belia dan masyarakat luar bandar.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebuah agensi pembangunan milik kerajaan, kami percaya integriti mesti dipupuk dari akar umbi. Program ini menyampaikan bahawa memerangi rasuah bukan tugas agensi penguatkuasaan semata-mata, tetapi tanggungjawab sosial bersama dalam masyarakat.

"Program ini boleh memberi impak yang lebih mendalam dengan menggabungkan elemen pendidikan dan sosial digabungkan dalam bentuk yang dekat dengan komuniti.

Iklan

"Antara pengisian program termasuk ceramah agama, aktiviti interaktif bersama maskot SPRM serta perasmian mural dan sudut anti rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, program berkenaan dianjurkan selama dua hari yang mana Anti Rasuah Key Communicator berlangsung di Masjid At-Toyyibin, Kampung Endah, di sini pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, program WAR pula berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Morib di sini pada Jumaat yang melibatkan komuniti tempatan dan pelajar sekolah rendah dalam pelbagai pengisian berkonsepkan dakwah, pendidikan dan hibur didik.

Dalam program sama, PNSB turut menyerahkan sumbangan Wakalah Agihan Zakat berupa van jenazah kepada Masjid At-Toyyibin yang disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor merangkap Ahli Lembaga Pengarah PNSB, Datuk Borhan Aman Shah.

Ia diserahkan kepada Nazir Masjid At-Toyyibin, Shaffei Mohamed dan disaksikan oleh Raja Ahmad Shahrir Iskandar.

Dalam pada itu, Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan edaran bahan kempen anti rasuah kepada masyarakat.

"PNSB juga telah menyerahkan sumbangan tajaan jersi kepada pasukan bola tampar SK Morib, manakala penyerahan sumbangan bantuan zakat kepada pelajar asnaf, barangan keperluan sekolah serta edaran bahan kempen anti rasuah telah dilaksanakan pada Jumaat di SK Morib," katanya lagi.

Pengarah SPRM Negeri Selangor, Hairuzam Mohamad Amin@Hamim berkata, masyarakat bukan sekadar perlu faham mengenai rasuah, namun benar-benar menolak budaya tersebut dalam kehidupan harian.

"Apabila nilai-nilai murni ditanam melalui program berbentuk pendidikan dan kerohanian seperti ini, kita sedang melahirkan rakyat yang lebih berdaya tahan dan bermaruah,” ujarnya.