Setakat jam 5.30 petang Jumaat, Rafizi dan Nurul Izzah telah menghantar borang pencalonan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Namun setakat jam 5.30 petang, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini disebut-sebut berpotensi sebagai calon, masih belum memfailkan pencalonannya.
Terdahulu, Nurul Izzah yang juga anak sulung kepada pengasas dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama mengesahkan pencalonannya untuk bertanding jawatan berkenaan.
Sebelum ini beliau dilapor telah mendapat sokongan lebih 150 cabang PKR seluruh negara yang mahukan Puteri Reformasi itu bertanding merebut jawatan berkenaan.
Sementara itu, Rafizi yang tampil mengesahkan akan mempertahan jawatan disandangnya turut mengalu-alukan pencalonan mana-mana pemimpin dengan menyifatkan hak untuk bertanding wajar diraikan dalam semangat demokrasi.
Pencalonan untuk bertanding jawatan utama PKR dibuka sehingga 11.59 malam Jumaat.