MELAKA - Seramai 30 'perusuh' yang membawa sepanduk dan melaungkan perkataan tukar-tukar telah membuat rusuhan dan 'menyerang' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Jumaat.
Mereka tiba di lokasi jam 8.30 pagi dengan menggunakan senjata di kawasan padang kawad sebagai tanda protes dan tindak balas kerana didakwa tidak puas hati dengan kerajaan serta pemilihan pemimpin.
Terdapat di antara mereka membawa kayu dan membaling air kepada anggota polis yang berpakaian lengkap dengan pelindung ketika sedang mengendalikan situasi rusuhan.
Malah kumpulan rusuhan itu turut bertindak agresif termasuk menendang selain turut bergelut sehinggakan pasukan polis terpaksa melepas gas pemedih mata bagi menangani situasi itu.
Bagaimanapun, situasi cemas itu yang turut menyebabkan beberapa orang tercedera hanyalah simulasi Kursus Asas LSF sebagai persediaan Polis Melaka menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan insiden kekacauan rusuhan, gaduh gempar, pemberontakan dan tindakan ganggu gugat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, latihan ini juga dianjurkan bagi memberikan ilmu serta pengetahuan asas menerusi latihan yang komprehensif kepada pegawai-pegawai muda PDRM Melaka untuk menghadapi insiden yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
Menurutnya, ini juga memastikan Polis Melaka sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekali gus menyokong inisiatif Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena pelantikan Melaka sebagai penganjur pada World Tourism Conference (WTC) 2025 dan tuan rumah World Tourism Day (WTD) pada September ini.
"Pada latihan kali ini seramai 72 pegawai rendah menyertai kursus itu dengan dibantu enam jurulatih dari Sekolah Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam Perak," ujarnya.