SHAH ALAM - Kerajaan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain digesa berperanan lebih agresif untuk membantu menamatkan konflik dan ketegangan antara India dan Pakistan serta-merta demi mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau Asia Selatan.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, sebagai dua negara berjiran yang mempunyai sejarah, nilai bersama dan hubungan kekeluargaan yang mendalam antara rakyatnya, permusuhan yang berterusan hanya membawa penderitaan dan kerugian kepada semua pihak.
Menurutnya, konflik tersebut juga hanya menguntungkan pembekal senjata yang mendapat motivasi dan keuntungan daripada peperangan, sedangkan rakyat terus menanggung derita.
"Kelebihan dan kebolehan teknologi nuklear kedua-dua negara sepatutnya digunakan untuk manfaat dunia, bukan untuk memudaratkan.
"Kita sudah pun berdepan dengan krisis kemanusiaan yang besar seperti di Palestin, Rohingya dan Syria. Cukuplah dengan penderitaan yang sedia ada di pentas dunia.
"Tidak perlu ditambah lagi luka dan derita umat manusia dengan konflik baharu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Konflik yang memuncak antara India dan Pakistan susulan serangan pengganas di Pahalgam pada 22 April lalu dan terkini Operasi Sindoor yang dilancarkan India terhadap Pakistan telah menimbulkan kebimbangan global, khususnya terhadap kesannya terhadap keselamatan makanan.
Pada Khamis, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilapor akan terus memantau perkembangan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalani kursus di India dan Pakistan, susulan konflik di kedua-dua negara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, 18 warga ATM menjalani kursus di India manakala tiga lagi di Pakistan.
Dalam pada itu, Mumtaz yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS berkata, pemimpin kedua-dua negara perlu mengutamakan rundingan, diplomasi dan semangat kejiranan.
Ini kerana katanya, pertelingkahan tersebut memberi kesan yang sangat buruk kepada rakyat kedua-dua negara, bukan sahaja dari segi keselamatan tetapi juga dari aspek ekonomi, sosial dan psikologi.
"India dan Pakistan sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan negara dan masa depan generasi muda mereka.
"Sumber dan tenaga yang dibazirkan dalam ketegangan ketenteraan harus dialihkan kepada sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat," ujarnya.