MANJUNG - Seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa rempuhan kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah bangunan restoran makanan segera KFC dekat Sitiawan pada malam Khamis disahkan meninggal dunia.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam itu, mangsa berusia 73 tahun yang merupakan pelanggan restoran menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah SUV jenis Volvo XC90 dipandu seorang lelaki hilang kawalan ketika tiba di persimpangan lampu isyarat hadapan restoran berkenaan.
Menurutnya, kenderaan terbabit yang datang dari arah Kampung Koh ke Sungai Wangi dipercayai terbabas ke kanan lalu merempuh bangunan restoran yang ketika itu dipenuhi pelanggan.
"Rempuhan itu telah mengakibatkan lapan pelanggan termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera.
"Tujuh daripada mangsa cedera berusia antara 5 hingga 38 tahun kini dirawat di Hospital Seri Manjung, manakala seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pemandu kenderaan berusia 29 tahun yang terbabit dalam kejadian itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Manjung di talian 012-6375962 atau 05-6899072.
Terdahulu media melaporkan, beberapa pelanggan sebuah restoran makanan segera cedera dengan seorang daripadanya terperosok di bawah sebuah kenderaan apabila sebuah SUV merempuh masuk bangunan tersebut.
Rempuhan tersebut turut memusnahkan dinding kaca restoran itu yang terletak di persimpangan empat lampu isyarat bandar Sitiawan.