Warga asing buat provokasi, tidak buka pintu

Iklan
Situasi ketika serbuan turut mencabar apabila terdapat cubaan provokasi daripada penghuni yang bertujuan mengganggu kelancaran operasi.

SHAH ALAM – Cubaan sekumpulan warga asing melengahkan serbuan dengan enggan membuka pintu rumah gagal apabila mereka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam Ops Kutip di sekitar flat Seksyen 8, di sini, malam Khamis.

Malah, dalam serbuan yang bermula kira-kira jam 9 malam itu, ada antara pintu kediaman terpaksa dipecahkan selepas penghuni enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan melibatkan seramai 29 pegawai dan anggota.

"Sebanyak 27 individu diperiksa dan 23 daripadanya ditahan melibatkan 15 warga Indonesia, dua Pakistan dan enam Bangladesh berusia antara dua hingga 60 tahun.

Iklan

"Kesemua individu ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, situasi ketika serbuan turut mencabar apabila terdapat cubaan provokasi daripada penghuni yang bertujuan mengganggu kelancaran operasi, namun keadaan berjaya dikawal.

Pegawai Imigresen menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing yang ditahan dalam serbuan di sekitar kawasan flat Seksyen 8, di sini pada Khamis.

Iklan

"Siasatan mendapati, kesemua individu terbabit dipercayai sudah berada di negara ini melebihi enam bulan dan memasuki Malaysia melalui Johor serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka menyewa rumah sekitar kawasan tersebut dengan kadar antara RM700 hingga RM900 sebulan manakala sewa bilik serendah RM200," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

"Operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

"JIM Selangor komited memastikan undang-undang imigresen dipatuhi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menyewa kepada warga asing secara haram," katanya.