SHAH ALAM - Selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilapor bakal mengumumkan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di beberapa sekolah yang terlibat, pekerja sektor swasta juga digalakkan untuk bekerja dari rumah.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia bagi menyokong kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan segala urusan berjalan lancar, mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar serta membantu kelancaran logistik semasa hari persidangan.
Jelas beliau, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia ingin memastikan hasil persidangan yang bertemakan 'Inklusiviti dan Kelestarian' itu mencerminkan tindakan konkrit demi kepentingan rakyat serta negara anggota.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninjau persediaan akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke- 46 di KLCC. Beliau menegaskan kepentingan penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi khususnya dari aspek logistik, keselamatan, protokol serta aliran trafik.
"Beliau juga ada berbincang melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berhubung isu serantau dan krisis kemanusiaan di Myanmar serta cabaran ekonomi akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).
"Kedua-duanya turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala susulan lawatan kerja terdahulu dan menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN tidak lama lagi," katanya ketika Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Facebook pada Khamis.
Sementara itu, Tunku Nashrul memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) iaitu entiti penasihat strategik yang bakal memainkan peranan penting bagi mendepani teknologi, sekali gus meletakkan negara di barisan hadapan ekonomi digital dunia.
Tambahnya, majlis akan dianggotai oleh pakar daripada dalam dan luar negara, pemain industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dasar.
"Ia bagi memastikan pendekatan kita bukan sahaja sejajar amalan terbaik antarabangsa, tetapi juga sesuai dengan konteks Malaysia," ujar beliau.