SHAH ALAM - Dakwaan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan konsep Kerajaan Perpaduan memihak hanya kepada satu pihak adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop yang juga dikenali sebagai Tok Abah berkata, ia kerana bagi Ahli Parlimen atau parti yang tidak menyokong kerajaan masih mempunyai peranan dalam Parlimen sebagai pembangkang.
Menurutnya, pembangkang berperanan semak dan imbang melalui saluran yang betul, bukan sahaja semasa sidang Parlimen dijalankan sebaliknya boleh berperanan sebagai Penasihat atau jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Pilihan.
"Tuduhan mengenai Ahli Parlimen yang tidak menyokong disekat hak. Semua yang berlaku semestinya ada polisi, tiada peruntukan disekat di mana-mana Parlimen yang tidak menyokong Kerajaan dan disalurkan mengikut polisi yang telah ditetapkan.
"Suka saya tekankan di sini, Malaysia Madani, adalah sebuah gagasan yang dicetuskan oleh maksud reformasi yang sebenar, Islah yang menyeluruh, perubahan radikal dalam konteks pembinaan negara bangsa," katanya menerusi sebuah video di Facebook miliknya pada Khamis.
Sebelum ini, Tun M mempersoalkan ketulenan konsep Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa kerajaan sedia ada lebih bersifat 'gabungan pak sanggup' daripada benar-benar mewakili semua parti.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Dr Mahathir merujuk kepada Kerajaan Perpaduan wujud di United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua, yang dipimpin oleh Winston Churchill sebagai contoh sebenar pemerintahan berasaskan perpaduan.
Dr Mahathir menegaskan bahawa dalam kerajaan perpaduan sebenar, kesetiaan bukan kepada Perdana Menteri atau parti tertentu, tetapi kepada negara.
Tambah Tok Abah, konsep Kerajaan Perpaduan yang sedang diamalkan dan berlaku dalam Kerajaan Madani.
"Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, kita saksikan ada parti yang menang dan kalah, jumlah yang menang tidak dapat membentuk sebuah Kerajaan.
"Justeru, situasi demikian, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi dalam negara telah menitahkan supaya bergabung dan membentuk Kerajaan Campuran yang disebut Kerajaan Perpaduan," katanya.