SHAH ALAM - Tiada penyakit berjangkit dikesan pada bangkai burung merpati yang ditemui di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh baru-baru ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, keputusan awal menunjukkan ujian bagi penyakit Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND) dan Adenovirus adalah negatif.
Menurutnya, pada masa ini, ujian keracunan sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Pemeriksaan bedah siasat telah dijalankan ke atas tiga bangkai burung merpati. Pemeriksaan luaran tidak menunjukkan sebarang tanda signifikan yang dapat menjelaskan punca kematian.
"Namun, pemeriksaan dalaman mendapati kesemua burung mempunyai kandungan perut yang penuh serta beberapa penemuan signifikan termasuk perubahan warna pada hati, kehadiran darah beku dalam rongga toraks, serta pendarahan pada trakea dan paru-paru.
"Sampel organ dalaman seperti hati, jantung, buah pinggang, limpa, paru-paru, usus dan trakea telah dihantar ke makmal untuk dianalisis. Kesimpulan akhir hanya akan dapat dibuat setelah keputusan ujian keracunan diterima daripada Jabatan Kimia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, penduduk sekitar Ipoh dikejutkan dengan penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan Padang Ipoh.
Kejadian itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dan pelbagai spekulasi daripada orang ramai, termasuk kemungkinan ia berpunca daripada keracunan atau jangkitan penyakit.
Tambah kenyataan tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk melindungi keselamatan awam serta sektor penternakan negara daripada risiko penyakit bawaan haiwan, DVS akan terus menjalankan pemantauan terhadap situasi semasa di Padang Ipoh.
"Orang ramai diminta untuk melaporkan segera kepada DVS Negeri berhampiran atau hubungi talian hotline 03-8870 2041 sekiranya menemui bangkai burung atau haiwan lain yang kelihatan luar biasa atau mencurigakan.
"Kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha pencegahan dan kawalan penyakit haiwan," katanya.