KUANTAN – Kewujudan varieti baharu durian, tupai king masih belum cukup 'bisa' untuk menggugat kedudukan musang king yang terus menguasai pasaran sebagai raja buah di dalam dan luar negara.
Pekebun dan penjual musang king dari Raub, Nicky Koh Kuan Heng, 38, berkata, kehadiran tupai king bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan, sebaliknya dilihat sebagai perkembangan positif dalam industri durian negara.
"Kami tidak tergugat dengan pesaing daripada varieti baharu seperti tupai king kerana musang king sudah ada pengikut setia dan pasaran yang kukuh, terutama di luar negara.
"Tupai king mungkin menarik perhatian buat sementara, tetapi musang king sudah terbukti dari segi rasa, berkualiti dan permintaan sejak bertahun-tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nicky merupakan generasi kedua yang mewarisi kebun durian daripada bapanya, Koh Ah Kau berkata, kelebihan Musang King terletak pada kualiti rasa dan statusnya sebagai varieti yang dikenali luas di dalam dan luar negara.
Jelasnya, kestabilan hasil dan kepercayaan pembeli menjadikan varieti premium itu kekal relevan hingga ke hari ini.
Tambah Nicky, kebun miliknya kini mempunyai pokok durian pelbagai usia termasuk yang tertua berusia lebih 35 tahun, membuktikan pengalaman dan penjagaan jangka panjang penting dalam memastikan hasil berkualiti pada setiap musim.
"Musang king bukan sekadar durian, tapi sudah jadi jenama yang dipercayai, terutama di pasaran eksport seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan Eropah. Pembeli sanggup bayar mahal kerana yakin dengan rasa serta kualitinya.
"Memang sukar untuk varieti baharu nak tandingi kedudukan ini kerana reputasi dan kepercayaan dibina hasil kerja keras pekebun sejak sekian lama,” jelasnya.
Mengulas mengenai varieti tupai king, Nicky berkata lonjakan harga yang berlaku ketika ini hanyalah kesan awal daripada bekalan terhad.
Menurutnya, penggemar juga berminat untuk mencuba sesuatu yang baharu, sekali gus menjadikan varieti durian itu popular.
"Orang ramai beli sebab mahu rasa, tapi belum tentu akan jadi pilihan utama seperti musang king.
"Dulu pun duri hitam pernah naik mendadak, tapi bila makin banyak ditanam, harganya turun dan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nicky turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos pengurusan kebun yang memberi tekanan kepada pekebun kecil sepertinya.
Katanya, perbelanjaan untuk baja, racun serangga dan vitamin kini semakin tinggi dan memberi kesan langsung kepada hasil tanaman.
"Pokok durian ini ibarat anak, kalau tak cukup makan memang susah nak sihat dan berbuah dengan baik,” katanya.
Malah jelasnya, perubahan cuaca turut menyumbang kepada pengeluaran hasil yang tidak konsisten.
"Sekarang cuaca sukar dijangka dan pokok nampak subur, tapi buah tidak menjadi. Kadang-kadang langsung tiada hasil,” katanya.