Suami mengaku bujang depan wanita, jatuh talak?

Iklan
DAKWAAN bahawa jatuh talak jika suami mengaku bujang di hadapan wanita lain adalah tidak benar sama sekali. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

SAAT membaca perkongsian warga maya di media sosial tentang dakwaan bahawa jatuh talak jika suami mengaku bujang di hadapan wanita lain, ramai yang melatah tidak keruan.

Masakan tidak, pernyataan itu membuatkan pasangan yang sudah berumah tangga panik jika tersalah sebut atau melafazkan sesuatu ketika bergurau dengan orang.

Iklan
Iklan

Itu satu hal, belum lagi yang mengambilnya sebagai hukum-hakam sahih tanpa merujuk sumber yang tepat.

Bagi meleraikan kekeliruan itu, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, ungkapan tersebut tidak benar, malah tidak menyebabkan jatuhnya talak.

Iklan

USTAZ AZHAR IDRUS

"Hari itu, keluar dalam Facebook ada orang tulis ‘mana-mana suami yang mengaku bujang depan perempuan, jatuh talak’.

Iklan

Tegas agamawan itu, lafaz seperti ‘Saya bujang’, ‘Saya belum kahwin’ dan ‘Saya tidak ada isteri’ tidak menyebabkan talak kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak jelas merujuk kepada perceraian.

Jelas beliau, talak hanya jatuh jika diiringi dengan niat cerai dalam hati.

"Yang jatuh (talak), ‘Saya telah menceraikan isteri saya’,” ungkapnya.

DALAM Islam, terdapat tiga perkara yang dianggap serius meskipun disebut dalam gurauan iaitu nikah, cerai dan rujuk. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

"Orang lelaki kan, takkan nak kata dah kahwin. Dia nak mengurat macam mana kalau kata dah kahwin? (Jadi) dia kata bujang, jenis lelaki (mengurat) memang kata begitu,” katanya berseloroh.

Seperkara lagi, beliau turut menekankan tentang lafaz cerai yang diucapkan dalam gurauan.

Ketahuilah bahawa sekalipun lafaz talak itu disebut dalam nada gurauan, ia tetap boleh menyebabkan perceraian jika lafaz itu jelas dan sarih, ungkapnya.

"Kalau kita bergurau dengan isteri atau siapa pun dengan menggunakan lafaz talak yang sarih, jatuh talak,” katanya.

Jelas beliau, terdapat tiga perkara dalam Islam yang dianggap serius meskipun disebut dalam gurauan iaitu nikah, cerai dan rujuk.

KEPUTUSAN sama ada jatuh talak atau tidak, perlu disahkan oleh pihak berautoriti iaitu mahkamah syariah. -Foto: CANVA

Andai lafaz cerai itu jelas dan lengkap serta tidak tersilap cakap, tegas penceramah tersebut, maka talak tetap berlaku walaupun niatnya hanya untuk bergurau atau membuat kejutan kepada pasangan.

Pun begitu, Ustaz Azhar menjelaskan, tidak semua kata-kata yang menyentuh soal perceraian akan menyebabkan jatuhnya talak secara automatik.

Beliau memberi contoh lafaz yang tidak jelas (kinayah) seperti ‘Ini bukan isteri saya’ tidak menyebabkan terlerainya ikatan perkahwinan kecuali jika disertai dengan niat cerai dalam hati.

Bagaimanapun, dalam hal itu katanya, keputusan sama ada jatuh talak atau tidak, perlu disahkan oleh pihak berautoriti iaitu mahkamah syariah.

"Apa-apa pun kena pergi ke mahkamah syariah. Sebab apa? Jawapan (ini) sekadar soalan.

"Kadangkala situasi yang berlakunya lain, soalannya lain. Jadi kita jawab ikut soalan,” jelasnya.

Selain daripada niat dan kejelasan lafaz, Ustaz Azhar menegaskan, struktur ayat juga memainkan peranan penting dalam penentuan hukum talak.

Bagi memudahkan kita memahaminya, beliau memberikan beberapa contoh lafaz yang tidak menyebabkan talak antaranya:

USAH mempermainkan lafaz talak kerana jika disebut dalam nada gurauan sekalipun, ia tetap boleh menyebabkan perceraian jika lafaz itu jelas dan sarih. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

1.‘Aku cerai’ - Tidak cukup kerana tiada objek (maf’ul).

2.‘Kamu cerai kamu’ - Tidak sah.

3.‘Aku akan cerai kamu’ - Belum berlaku dan hanya lafaz masa depan.

4.‘Aku cerai aku’ - Tidak relevan dan tidak membawa maksud sah.

Sementara itu, bagi lafaz sah dan menyebabkan jatuhnya talak, antara contoh diberikan Ustaz Azhar ialah ‘Aku telah menceraikan kamu’, ‘Aku telah mentalak akan kamu’ dan ‘Kamu sudah kena talak satu’.

Dalam pada itu, penceramah disegani itu turut memberi peringatan agar umat Islam tidak mudah menyebarkan status berkaitan hukum-hakam agama tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.

"Hendak buat status (di media sosial), pastikan betul-betul dulu. Ramai orang kongsi dan beribu orang ambil dan kongsi lagi, maka lagi panjang (perkongsian dan capaian orang membacanya) pula,” katanya.