Terengganu perluas kempen kesedaran jenayah syariah

Iklan
Zuraida (kiri) mengagihkan risalah ketika kempen kesedaran Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu, pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memperluas kempen kesedaran Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu bagi mendidik masyarakat memahami undang-undang Islam secara lebih mendalam.

Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, kempen ini bukan sekadar untuk memperkenalkan peruntukan enakmen berkenaan, malah menekankan pendekatan berhemah dalam menyampaikan mesej kepatuhan terhadap syariah.

Iklan
Iklan

"Kita mahu syariah difahami dan dihayati, bukan sekadar ditakuti. Sebab itu, kerajaan negeri memperluas kempen kesedaran ini agar masyarakat tahu implikasi undang-undang serta kepentingan mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan seharian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan Kempen Pencegahan Penguatkuasaan Syariah di pusat beli-belah di sini, hasil kerjasama Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

Iklan

Menurutnya, antara kesalahan yang dijelaskan dalam enakmen tersebut termasuk tidak menunaikan solat Jumaat, berkhalwat, berpakaian dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam serta lain-lain perbuatan bercanggah dengan hukum Islam.

"Kempen ini menekankan bahawa pendidikan dan kesedaran mesti datang dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil," ujarnya.

Iklan

Zuraida turut menyifatkan kolaborasi bersama pusat beli-belah seperti KTCC Mall sebagai langkah strategik dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat secara santai tetapi bermaklumat.

"Kesedaran sebelum tindakan, pendidikan sebelum hukuman adalah asas kepada syariat yang ingin ditegakkan oleh kerajaan negeri melalui kempen ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang turut mengajak orang ramai menyokong inisiatif itu agar nilai-nilai Islam terus terpelihara dan dihormati dalam masyarakat.

"Kempen ini bukan untuk menghukum, tetapi untuk membina kefahaman. Marilah kita sama-sama menyokong usaha ini demi kesejahteraan bersama," katanya.