Pakistan ikrar balas serangan udara India

Iklan
Anggota separa tentera berkawal di luar Kompleks Kesihatan dan Pendidikan Kerajaan selepas serangan India di Muridke, kira-kira 30 kilometer dari Lahore pada Rabu. - AFP

MUZAFFARABAD - Pakistan memberi amaran bahawa pihaknya akan membalas serangan udara yang dilancarkan India, yang didakwa New Delhi sebagai tindak balas terhadap serangan di Kashmir, sekali gus mencetuskan kebimbangan peningkatan ketegangan terburuk dalam beberapa dekad antara dua negara bersenjata nuklear itu.

Sekurang-kurangnya 43 orang disahkan terbunuh setakat ini, dengan Pakistan mendakwa 31 orang awam maut akibat serangan udara dan tembakan artileri India di sepanjang sempadan, manakala India melaporkan sekurang-kurangnya 12 kematian akibat serangan balas Pakistan.

Iklan
Iklan

"Kami berjanji akan membalas setiap titisan darah para syuhada ini,” kata Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam perutusan khas kepada rakyat lewat malam Rabu.

Tentera India mendakwa telah memusnahkan sembilan kem pengganas di Pakistan awal pagi Rabu, dua minggu selepas New Delhi menyalahkan Islamabad berhubung serangan ke atas pelancong di kawasan Kashmir yang ditadbir India iaitu dakwaan yang dinafikan Pakistan.

Iklan

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry pula mendakwa lima jet pejuang India telah ditembak jatuh di sempadan.

Sumber keselamatan tinggi India, yang enggan dikenali memaklumkan tiga pesawat pejuang milik mereka terhempas di wilayah sendiri.

Iklan

Kedua-dua negara dilaporkan saling berbalas tembakan berat di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang membahagikan Kashmir iaitu wilayah yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara namun ditadbir secara berasingan.

India menyatakan tindakannya adalah"fokus, terkawal dan tidak bertujuan untuk meningkatkan konflik”.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi melancarkan serangan itu bagi meraih sokongan politik dalam negara dan menegaskan bahawa Islamabad tidak akan mengambil masa lama untuk membalas.

Jurucakap tentera Pakistan turut menyatakan bahawa pertempuran masih berterusan di sepanjang LoC, dan memberi amaran bahawa tindakan balas akan diambil pada masa dan cara yang ditentukan oleh Islamabad.

Beliau berkata serangan paling besar dilakukan India adalah terhadap sebuah madrasah di Bahawalpur, Punjab, yang menyebabkan 13 maut.

Kompleks kesihatan dan pendidikan kerajaan di Muridke, 30 kilometer dari Lahore, turut musnah, termasuk sebuah masjid di Muzaffarabad yang mengorbankan penjaganya.

Empat kanak-kanak turut dilaporkan terbunuh dalam serangan Rabu itu.

Pakistan turut mendakwa loji kuasa hidroelektrik di Kashmir diserang India, mengakibatkan kerosakan pada struktur empangan, selepas India mengugut untuk menyekat aliran air ke wilayah itu.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh berkata serangan tersebut adalah hak India sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas pelancong di Pahalgam pada 22 April lalu, sekali gus mengorbankan 26 orang yang majoritinya lelaki beragama Hindu.

Pakistan menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu. - AFP