POH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sebanyak 219 tong gas petroleum cecair (LPG) menerusi Ops Gasak 2025 dalam tiga serbuan berasingan di Teluk Intan, Ipoh dan Taiping pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah ladang ayam di Teluk Intan yang dipercayai menyimpan LPG tanpa permit sah.
Menurutnya, siasatan oleh pasukan pemeriksaan mendapati gas tersebut digunakan untuk menyesuaikan suhu bagi anak-anak ayam di ladang terbabit.
"Seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun yang mengaku sebagai pengurus didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pengawal apabila diminta.
Kamalludin berkata, dua lagi serbuan menyasarkan premis perniagaan di Ipoh dan sebuah kediaman di Taiping yang masing-masing memiliki lori sarat dengan tong LPG.
Katanya, dalam serbuan di Ipoh, pihaknya menahan pemilik lori yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun, manakala dalam serbuan di Taiping, pemilik premis kediaman, seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, kedua-dua individu tersebut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan berkenaan.
"Sehubungan itu, tiga tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 219 unit tong LPG berkapasiti 10kg, 12kg dan 14kg serta dua buah lori dengan nilai sitaan keseluruhan yang dianggarkan RM46,995.30.
"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa individu atau syarikat yang melanggar undang-undang boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyelewengan LPG digesa menyalurkan aduan melalui WhatsApp (019-848 8000), portal e-aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi EZ ADU KPDN.