AMD ejen pelaksana dasar Pelan Sabah Maju Jaya - Hajiji

Iklan
Hajiji menyampaikan watikah kepada AMD yang dilantik pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran Tahun 2025–2027 di Tuaran pada Khamis.

TUARAN - Ahli Majlis Daerah (AMD) bukan sekadar penyambung suara rakyat tetapi juga perlu menjadi ejen pelaksanaan yang berkesan kepada inisiatif kerajaan, khususnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut menegaskan kepentingan peranan aktif dan berintegriti AMD dalam menyokong pelaksanaan dasar pembangunan negeri.

Iklan
Iklan

"AMD perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Lengkap dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.

"Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyampaikan bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus," katanya pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran Tahun 2025–2027 di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Iklan

Hajiji berkata, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD.

"AMD perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam menyebarluaskan maklumat dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Iklan

Beliau turut menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah Tuaran, termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan tempatan.

"Sebesar mana pun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa penyampaian yang cekap. Ahli Majlis perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus," katanya.

Justeru Hajiji mengajak semua AMD supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran dan memastikan setiap dasar dan program kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat.

Menurutnya lagi, pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

"Kepelbagaian ini diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan menangani keperluan rakyat secara menyeluruh.

"Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, AMD mampu menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran," katanya.