KIRA-KIRA seminggu selepas 'penyataan sikap' 267 orang purnawirawan (mantan) pimpinan tertinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI) muncul pula penyataan sikap daripada kumpulan yang lain.
Kali ini datangnya daripada persatuan mantan anggota TNI dan Kepolisian Republik Indonesia (Polri).
Mereka mewakili Persatuan Purnawirawan dan Warakawuri TNI dan Polri (Pepabri), Legiun Veteran Republik Indonesia (LVRI), Persatuan Purnawirawan TNI Angkatan Darat (PPAD), Persatuan Purnawirawan Angkatan Laut (PPAL), Perhimpunan Purnawirawan Angkatan Udara (PPU), Persatuan Purnawirawan Polri dan Persatuan Isteri Purnawirawan Indonesia (Perip).
Sekiranya penyataan sikap kumpulan yang pertama itu menuntut lapan perkara, kumpulan ini yang mendakwa mewakili mantan TNI dan Polri yang sebenar membangkitkan lima perkara.
Jurucakap kumpulan ini, Ketua Umum PPAD, Kamaruddin Simanjuntak menyebutkan bahawa mereka ‘mendukung program pemerintah sesuai dengan asta cita’ Presiden Prabowo Subianto.
Mereka juga tegas bersolidariti di belakang Prabowo bagi memastikan utuhnya Kesatuan Republik Indonesia. Bagi mereka tidak timbul isu untuk menghentikan projek Ibu Kota Negara (IKN), Nusantara.
Mereka tidak sedikitpun menyentuh tuntutan kelapan oleh kumpulan pertama yakni pemakzulan Wakil Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
Lebih menarik lagi turut hadir dalam pembacaan penyataan sikap kumpulan kedua itu adalah Jeneral Wiranto yang pernah memimpin TNI. Wiranto kini adalah Penasihat Khusus Presiden Bidang Politik dan Keamanan. Wiranto jugalah yang memberikan komen penyataan sikap kumpulan pertama bagi pihak Prabowo.
Menurut beliau Prabowo ‘menghargai dan memahami’ kandungan surat penyataan sikap itu. Beliau menyebutkan bahawa Prabowo sebagai mantan tentera menghargai pandangan mantan perajurit yang menurutnya ‘satu alma mater, satu perjuangan, satu pengabdian dan tentunya punya sikap moral yang sama dengan jiwa Sapta Maga dan sumpah perajurit’.
Penyataan sikap dua kumpulan yang sangat berpengaruh ini tentulah mengundang perbahasan, spekulasi dan pelbagai teori konspirasi. Ada pandangan yang mengatakan bahawa kenyataan kumpulan yang kedua itu mungkin lebih keras jika mereka tidak mengambil kira kehadiran Try Sutrisno dalam kumpulan pertama.
Try Sutrisno adalah mantan Panglima TNI dan mantan Wakil Presiden pada era Order Baru Suharto. Try Sutrisno adalah tokoh yang sangat dihormati di kalangan pimpinan politik dan ketenteraan.
Soalannya kumpulan manakah yang lebih ‘dihargai’ oleh Prabowo? Mengambil kira Wiranto dalam kumpulan kedua dan beliau penasihat Prabowo, itu sudah jelas menampakkan dekatnya hubungan kumpulan kedua dengan Presiden.
Malah jurucakap kumpulan ini, Kamaruddin menemui Prabowo pada 30 April lalu. Walaupun tidak ada sebarang kenyataan dari Istana Presiden tentang inti pertemuan itu tetapi Kamaruddin menyebutkan ia tidak lebih kunjungan untuk mencari tarikh silaturahim Presiden dengan anggota PPAD.
Banyak pihak yang skeptikal dengan alasan itu. Penyataan sikap mantan anggota TNI dan Polri ini berlaku tiga hari setelah pertemuan tersebut. Menurut beritanya kumpulan pertama telah menghantar permohonan untuk menemui Prabowo sejak Februari tetapi tidak diberikan waktu. Maka itu Forum Purnawirawan Perajurit TNI harus membuat penyataan terbuka pada 25 April 2025.
Apakah sebenarnya terjadi? Paling banyak dibahaskan adalah tentang soal pemakzulan Gibran yang dicadangkan oleh kumpulan pertama. Pemerhati, anggota masyarakat sivil, pakar undang-undang dan pimpinan politik berbelah bagi tentang itu.
Wakil Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), Eddy Soeparno mengatakan bahawa setakat ini Gibran adalah Wakil Presiden yang sah terpilih melalui pilihan raya presiden (Pilpres) yang mengikut undang-undang.
Ada pandangan mengatakan cadangan pemakzulan Gibran adalah langkah berbahaya bagi demokrasi. Mantan pimpinan TNI tiada hak membuat pendirian sedemikian. Ada pula beranggapan proses itu walaupun sukar tetapi tidak mustahil. Presiden Sukarno dan Presiden Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) pernah melalui proses itu.
Nampaknya isu ini tidak berhenti setakat penyataan sikap dua pihak yang berseberangan. Beberapa hari selepas penyataan kumpulan pertama, Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto mengeluarkan surat menukarkan Leftenan Jeneral Kunto Arief Wibowo dari kedudukannya.
Beliau menjawat Panglima Komando Gabungan Wilayah Pertahanan (Pangkogabwilhan) 1 baru empat bulan. Beliau akan dipindahkan menjadi Staf Khusus Ketua Staf TNI Angkatan Darat. Banyak pihak menganggap beliau dicold storage.
Sayogia diingat bahawa Kunto adalah anak Try Sutrisno, tokoh penting yang merestui penyataan sikap kumpulan pertama. Kunto dianggap pimpinan muda TNI yang berpotensi besar.
Apakah pemindahannya ke jawatan yang dilihat tidak strategik itu cara Agus ‘mengajar’ Try Sutrisno kerana pembabitannya? Bagaimanapun pertukaran Kunto dibatalkan keesokan harinya. Ada khabar mengatakan bahawa Prabowo marah dengan keputusan Agus. Prabowo tidak mahu dilihat sebagai berdendam pada Try Sutrisno yang dihormatinya.
Perlu juga diingat bahawa kedudukan strategik Kunto itu akan diambil alih oleh Laksamana Madya Hersan yang sebelumnya adalah Panglima Komando Armada III. Hersan adalah mantan ajundan Presiden ke-7, Joko Widodo (Jokowi). Malah dianggap sebagai sebahagian daripada ‘Gang Solo’ yang berpengaruh dalam TNI dan Polri.
Sekali lagi timbul spekulasi pengaruh Jokowi masih menebal dalam TNI, Polri dan pemerintahan. Malah memperkuat dakwaan banyak pihak bahawa terdapat ‘matahari kembar’ (dua presiden) pada masa ini.
Agus dikatakan loyalis Jokowi. Maka itu walaupun pihak TNI membuat kenyataan bahawa pertukaran Kunto adalah langkah pentadbiran biasa tetapi banyak yang melihatnya sebagai mainan tangan ghaib Jokowi.
Apakah yang akan berlaku selepas ini? ‘Perang mantan’ tidak pernah berlaku dalam skala sebesar ini. Dalam kedua-dua kumpulan itu terdapat banyak personaliti yang berpengaruh.
Prabowo harus berpegang pada janjinya untuk betul-betul ‘menghargai dan memahami’ semua pandangan daripada pelbagai pihak. Prabowo menghadapi pelbagai masalah masa ini maka itu, desakan dua pihak berkenaan tidak harus menjadi beban tambahan.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik dan kebudayaan Indonesia.