CADANGAN dan pelaksanaan dasar pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pelbagai pihak, khususnya apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tarikh kuat kuasa pada tahun ini.
Langkah ini dilihat sebagai satu bentuk reformasi dalam sektor kesihatan swasta yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, memperkukuh hak pengguna dan memberi keupayaan kepada pesakit untuk membuat pilihan rawatan.
Namun begitu pelaksanaannya mendapat tentangan daripada doktor klinik swasta kerana ia tidak selari dengan realiti operasi klinik serta hospital swasta di Malaysia.
Ini kerana, ia mungkin akan menyebabkan kekeliruan apabila pesakit hanya melihat harga ubat tanpa memahami keseluruhan struktur kos rawatan.
Sokong
Dorong pemilihan bijak dalam kalangan pesakit
Ketelusan dalam paparan harga perkhidmatan kesihatan dilihat sebagai satu langkah penting ke arah memperkasa hak pengguna serta meningkatkan kecekapan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
Dengan maklumat harga yang jelas, pesakit kini berpeluang membuat perbandingan antara fasiliti dan memilih rawatan yang sesuai dengan keperluan serta bajet mereka.
Apabila harga dinyatakan secara telus, pesakit boleh menilai sama ada kos yang dikenakan setimpal dengan perkhidmatan yang ditawarkan atau tidak.
Ini bukan sahaja meningkatkan persaingan sihat antara fasiliti, malah memberi tekanan kepada penyedia perkhidmatan untuk mengekalkan kualiti.
Langkah ini juga membantu mengelakkan kejutan kos atau caj tersembunyi yang sering menimbulkan rasa tidak puas hati pesakit.
Tambahan pula, dalam situasi ekonomi mencabar, ramai pengguna lebih berhati-hati merancang perbelanjaan kesihatan mereka.
Bagaimanapun, ketelusan harga perlu disertai penjelasan mengenai skop perkhidmatan, kualiti rawatan serta kemungkinan kos tambahan agar pengguna tak buat keputusan semata-mata berdasarkan harga terendah.
- Kakitangan swasta, Mohamad Amreel Iman, 26
Perkhidmatan lebih telus
Pemaparan harga ubat-ubatan di fasiliti kesihatan swasta perlu dalam meningkatkan keyakinan pengguna serta membantu mereka membuat persediaan kewangan lebih awal.
Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, malah turut memperkukuh imej profesionalisme dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta.
Tindakan memaparkan harga ubat tidak memberi kejutan mengenai harga atau kos yang perlu disediakan pesakit terutamanya bagi rawatan jangka panjang atau kronik yang memerlukan pengambilan ubat secara berterusan.
Bila tahu anggaran harga rawatan pesakit boleh rancang bajet dan buat keputusan lebih baik.
Kadang-kadang harga hanya untuk jumpa doktor pun dah mahal, kalau ada paparan awal pesakit boleh nilai dulu dan bersedia dari segi kewangan.
Kalau difikirkan ubat boleh dibeli di farmasi tetapi jika tidak jumpa doktor sudah pasti tidak akan diberikan cuti sakit (MC).
Dalam masa sama, inisiatif memaparkan harga ini dilihat sebagai langkah meningkatkan kepercayaan pengguna dan menggalakkan amalan perbandingan harga secara sihat.
Langkah ini ini juga selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan hak pengguna dan memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti tak jadi beban kewangan kepada rakyat.
- Pekerja swasta, Damia Nursyaza Zulkafli Hashim, 27
Bangkang
Khuatir timbul salah faham kepada pelanggan
Harga yang dipaparkan oleh sesetengah perkhidmatan kesihatan dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pelanggan kerana ia tidak merangkumi caj tambahan seperti konsultasi atau prosedur lanjut.
Difahamkan, harga yang dipaparkan sering kali tidak menunjukkan jumlah sebenar yang perlu dibayar selepas menerima rawatan.
Hal ini akan mengundang rasa tidak puas hati apabila bayaran akhir ternyata meningkat berbanding jangkaan awal.
Misalnya, sebelum rawatan kita sangka jumlah yang perlu dibayar RM50 berdasarkan paparan harga ubat namun ia meningkat kepada RM100 selepas dirawat dan ia pasti akan menimbulkan rasa tidak senang pesakit.
Lagipun, kalau pesakit tahu harga sudah pasti mereka akan memilih ubat dan rawatan berdasarkan harga termurah tanpa memahami perbezaan dari segi kualiti dan keberkesanan.
Penyamarataan kualiti ini boleh membawa kesan negatif terhadap keberkesanan rawatan dan kesihatan jangka panjang pesakit di negara kita.
Pesakit mungkin beranggapan semua ubat mempunyai bahan yang sama walhal kesan sampingannya berbeza mengikut individu. Sebab itu cadangan ini perlu diteliti secara menyeluruh.
- Penjawat awam, Siti Norfazlina Azmi, 36
Jejas reputasi klinik
Isu ketelusan harga ubat di klinik swasta seharusnya difokuskan kepada penyediaan bil terperinci dan bukannya sekadar mempamerkan harga ubat secara umum.
Ini kerana, ada dalam kalangan pesakit yang tidak memahami perbezaan harga antara farmasi dan klinik sehingga menyebabkan pertikaian selepas mendapatkan rawatan.
Sudah pasti harga di kedua-dua tempat itu berbeza disebabkan beberapa faktor antaranya melibatkan kos operasi.
Oleh itu, memaparkan harga tanpa pemahaman menyeluruh berpotensi menjejaskan operasi serta reputasi fasiliti kesihatan sama ada kerajaan atau swasta.
Saya berpandangan tanpa senarai harga ubat pesakit masih mempunyai pilihan untuk menolak ubat yang tidak diperlukan.
Ini menunjukkan bahawa aspek ketelusan sebenarnya sudah wujud dalam sistem sedia ada, cuma kurang difahami.
Bagaimanapun, ramai pesakit yang ‘pay and claim’ tanpa melihat senarai atau kos rawatan mereka.
Selain itu, saya turut cadangkan agar harga ubat ditetapkan di setiap tempat seperti mana harga keperluan asas.
Misalnya, kalau ubat 'A' dijual dengan RM10, semua tempat perlu tetapkan harga sama, barulah cakap kawal harga secara telus.
Saya juga bimbang, dasar pamer harga ubat ini mungkin akan memberi impak buruk terhadap kelangsungan operasi klinik swasta kerana perlu bergelut dengan sistem yang semakin rumit.
- Kakitangan swasta, Nur Intan Idayu Abdullah, 37