Hilangnya nilai toleransi di jalan raya

Iklan
Isu buli jalan raya bukan lagi perkara baharu di Malaysia. Gambar hiasan

ISU buli jalan raya bukan lagi perkara baharu di Malaysia. Setiap hari, ada sahaja insiden yang tular di media sosial yang memaparkan pemandu kenderaan atau penunggang motosikal bertindak ganas terhadap pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu berpunca sama ada akibat rasa tidak puas hati, salah faham atau sekadar ego tidak bertempat. Tindakan itu mencerminkan betapa seriusnya krisis disiplin dan kawalan emosi sehingga hilangnya nilai kemanusiaan dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini.

Iklan
Iklan

Sedikit kesilapan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya seperti menukar lorong tanpa memberi isyarat atau memperlahankan kenderaan di laluan laju sudah cukup untuk mencetuskan amarah yang boleh membawa kepada konfrontasi.

Dalam banyak kes buli jalan raya, mangsa bukan sahaja dihambur kata-kata kesat tetapi turut diancam secara fizikal.

Iklan

Sikap panas baran itu menjadi lebih membimbangkan apabila ia melibatkan mereka yang membawa senjata seperti kayu atau bertindak di luar batasan undang-undang.

Terdapat kes di mana pemandu bertindak mengejar, menghimpit malah memukul mangsa hanya kerana hal remeh yang boleh diselesaikan dengan cara berhemah.

Iklan

Sebelum ini Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye pernah menyuarakan kebimbangan terhadap isu buli jalan raya di Malaysia.

Selain hukuman tegas, beliau mencadangkan agar individu yang terlibat dalam kesalahan membuli di jalan raya diwajibkan menjalani sesi kaunseling dan khidmat masyarakat.

Langkah itu bertujuan untuk memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pesalah serta mencegah budaya negatif ini daripada terus berleluasa dalam masyarakat.

Beliau percaya bahawa sikap tidak sabar dan panas baran di jalan raya mencerminkan kemerosotan nilai-nilai sopan santun dalam masyarakat Malaysia.

Berikutan peningkatan kes buli jalan raya, Polis Diraja Malaysia telah memuat naik hantaran di laman Facebook berkaitan peringatan untuk menghentikan perbuatan buli jalan raya.

Seseorang itu boleh dikategorikan sebagai pembuli jalan raya apabila mereka melakukan tindakan agresif yang telah melanggar peraturan lalu lintas sehingga boleh merisikokan nyawa orang lain.

Terdapat tiga kategori pembuli jalan raya iaitu membuli secara fizikal, memukul atau mengugut mangsa.

Kategori kedua pula membuli secara mental, mengeji dan memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat manakala kategori ketiga buli jalanan iaitu memandu secara tidak beretika serta dalam keadaan bahaya, mengganggu pemandu lain dan membuat provokasi terhadap mangsa.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menegaskan bahawa perbuatan buli jalan raya ini merupakan satu kesalahan jenayah.

Jadi kepada mana-mana individu yang menjadi mangsa buli jalanan, anda diminta untuk segera melaporkan kes tersebut di balai polis berhampiran untuk membolehkan pembuli dikenakan tindakan sewajarnya.

Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi sekiranya masyarakat tidak berubah dari segi sikap dan mentaliti. Pendidikan sivik dan empati perlu diterapkan agar nilai kesabaran dan toleransi dapat membentuk generasi pengguna jalan raya yang lebih berhemah.

Pihak berkuasa perlu memperluas pendekatan mendidik pengguna jalan raya melalui kempen kesedaran yang lebih agresif dan konsisten.

Dalam masa sama, pengguna jalan raya harus memainkan peranan dengan menunjukkan contoh yang baik, mengawal emosi dan mengelakkan provokasi adalah antara langkah mudah tetapi berkesan untuk mengurangkan konflik.

Sudah tiba masa kita bertanya pada diri sendiri, adakah jalan raya kita tempat meluahkan perasaan marah atau laluan untuk bersama bergerak ke destinasi dengan selamat?

Semua pihak perlu sedar bahawa buli jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi juga boleh merosakkan keharmonian sosial.

Maka, mulakan perubahan dengan diri sendiri. Jangan jadikan jalan raya cermin kepada sisi gelap dalam diri kita.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Meja Jenayah