SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemergian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Safiah Nafisah Muddatstsir disifatkan sebagai ‘kematian yang dicemburui’.
Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh pihak sekolah menerusi laman Facebook rasmi mereka.
Menerusi hantaran tersebut, seluruh warga sekolah meluahkan rasa hiba dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, pihak sekolah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh,” demikian menurut kenyataan tersebut pada Rabu.
Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan disemadikan di Presint 20, Putrajaya.
"Salam takziah kepada seluruh warga sekolah. Al-Fatihah,” ujar kenyataan itu lagi.