Waspada kod QR palsu: Sumbangan Masjid Ar-Ridzuan perlu disemak

Iklan
Saarani (tengah) ketika sidang akhbar pada Rabu.

IPOH – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan meneliti nombor akaun masjid kariah masing-masing sebelum menyalurkan sumbangan bagi membantu usaha menebus semula tanah Masjid Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ingatan itu diberikan kerana dibimbangi ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kempen derma tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pengerusi masjid di negeri ini untuk menyalurkan kutipan solat Jumaat minggu ini ke akaun rasmi bagi tujuan tersebut.

"Tetapi seperti biasa, apabila ada pemungutan derma untuk tujuan kebajikan, akan ada individu yang mengambil kesempatan. Contohnya, sekarang ini kita menggunakan kod QR. Jadi, penderma perlu memastikan ke mana sumbangan mereka disalurkan.

Iklan

"Ada yang mengambil peluang untuk memerangkap dermawan dan akhirnya, wang tersebut tidak sampai ke tempat yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM Program Tuisyen Cikgu Saarani di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, pada Rabu.

Pada 5 Mei lalu, JAIPk telah mengedarkan surat bertajuk ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai’ kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) di seluruh Perak.

Iklan

Surat tersebut menyarankan agar masjid dan surau menyediakan tabung khas bagi kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025. Kutipan itu akan disalurkan ke akaun rasmi atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan JAIPk (Bank Islam: 08013010091983).

Negeri Perak kini menggiatkan kutipan derma Jumaat bagi menebus semula tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan bernilai RM1.8 juta yang pernah diwakafkan tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada tahun 2012.

Sementara itu, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung memaklumkan bahawa hampir RM750,000 telah berjaya dikutip oleh pihak masjid.

Menurutnya, jumlah RM746,998.05 berjaya dikumpulkan setakat jam 9 pagi tadi, dengan sumbangan terus ke akaun masjid mencecah RM632,746.40, seperti dimaklumkan oleh pengerusi masjid.

"Manakala sumbangan menerusi kod QR Multiracial Reverted Muslims (MRM) – digunakan sementara kerana masjid belum ada kod QR ketika itu – berjumlah RM114,251.65.

"MRM telah memindahkan RM50,000 terlebih dahulu ke akaun masjid kerana had transaksi sehari hanyalah RM50,000. Baki akan dipindahkan pada hari-hari berikutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada caj pengurusan dikenakan dan 100 peratus sumbangan disalurkan terus kepada pihak masjid.