Seorang maut, dua cedera nahas dua lori

Iklan
Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 9.9 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), pada Rabu. Foto: JBPM.

SUBANG JAYA – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera ringan apabila lori yang dinaiki masing-masing terlibat dalam kemalangan di Kilometer 9.9 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada jam 5.48 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an, manakala dua lagi yang cedera juga merupakan lelaki tempatan berusia 30-an.

Menurutnya, komander operasi melaporkan bahawa kemalangan itu melibatkan dua buah lori jenis Hicom satu tan.

Iklan
Anggota bomba melakukan pemeriksaan bagi mengeluarkan seorang pemandu lori yang maut akibat tersepit. Foto: JBPM.

"Lori pertama membawa muatan jagung, manakala lori kedua membawa muatan telur.

"Terdapat seorang lelaki dianggarkan berusia 40-an yang tersepit di bahagian pemandu lori pertama.

Iklan

"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba pada jam 6.15 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagi lori kedua, Ahmad Mukhlis berkata, dua lelaki mengalami kecederaan ringan dan kedua-duanya berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi.