PADANG RENGAS - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 64, Jalan Ipoh - Taiping berhampiran Bukit Berapit di sini pada Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat awal kemalangan melibatkan dua kenderaan itu diterima daripada orang awam pada jam 10.30 pagi.
"Siasatan pihak polis mendapati motosikal ditunggang lelaki berusia 68 tahun bersama isterinya berusia 65 tahun dalam perjalanan dari arah Taiping menuju ke Kuala Kangsar.
"Ketika melalui lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal dan merempuh kenderaan mangsa," katanya di sini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
"Pemandu dan penumpang kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Bagaimanapun, lelaki berusia 51 tahun yang memandu kereta terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nadiah Radenan di talian 017-5491475 atau 05-7762222 bagi membantu siasatan.