ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memberi keutamaan kepada pembinaan rumah rakyat menerusi projek Kampung Sejahtera berbanding bangunan pencakar langit.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif itu diperkenalkan pada tahun lalu dengan menyediakan lot tapak rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tidak memiliki rumah atau tanah sendiri.
Menurutnya, projek perintis Kampung Sejahtera dimulakan di atas bekas tapak kuari di Kampung Perik, mukim Kurong Hitam di Kuala Nerang, dengan keluasan kira-kira 3,600 kaki per segi.
"Kita di Kedah tidak ada pencakar langit. Kita nak cakar tanah saja supaya rakyat miskin dapat tempat berteduh dan kehidupan yang lebih baik,” katanya di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, kampung tersusun pertama di Kedah ini turut diperluaskan ke semua daerah secara berfasa meliputi 1,281 plot, antaranya di Kuala Muda (427), Sik (227), Kubang Pasu (142), Baling (129) dan Padang Terap (101), Langkawi (70), Pokok Sena (63).
Sementara di Pendang pula sebanyak 58 plot, diikuti Kulim (32), Bandar Baharu (19) serta Yan (13).
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri telah memohon kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan dalam penyediaan infrastruktur asas di Kampung Sejahtera seperti sistem perparitan, jalan raya, bekalan air dan elektrik.
"Permohonan berkenaan dikemukakan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan (MOF), selain dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat khas pembangunan negeri sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman pada 4 Mei lalu.
"Kita mohon mengikut prosedur, bukan muka 10 sen. Perdana Menteri setuju sebab ia juga selari dengan keutamaan kerajaan Pusat. Kita minta untuk keselesaan rakyat,” katanya.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan serta-merta bagi membolehkan infrastruktur dibangunkan melibatkan kos puluhan juta ringgit, namun Muhammad Sanusi berharap bantuan tersebut dapat disalurkan segera demi kelancaran projek berkenaan.
Sekiranya bantuan Pusat tidak disalurkan segera, kerajaan negeri tetap meneruskan inisiatif tersebut mengikut kemampuan sedia ada, tambahnya.
"Kita boleh mulakan dengan jalan tanah merah, tabur batu crusher run. Kalau bekalan air paip besar tak dapat dibuat, kita mungkin guna air bukit atau paip kecil sahaja.
"Kos yang tinggi seperti utiliti perlukan bantuan Pusat. Kalau setakat nak bagi tanah, rakyat boleh buat rumah sendiri, lebih murah. Kita tak mahu setakat itu saja, kita nak kampung itu jadi lengkap," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesediaan membantu negeri itu menjayakan perumahan rakyat.
Pada 29 April, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota diutamakan berbanding bangunan pencakar langit.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak peduli jika ketika era pentadbirannya tiada bangunan pencakar langit didirikan, sebaliknya mahu perumahan rakyat didahulukan.
"Saya setuju dengan pandangan Anwar. Kalau tak ada pencakar langit pun tak apa, asalkan rakyat ada rumah,” katanya.
Pada 20 November lepas, diadakan majlis pecah tanah Kampung Sejahtera yang pertama di Kampung Perik, Kuala Nerang.
Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memberi lot tapak rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar berkeluarga yang tidak mempunyai tanah atau rumah.
Sementara pada 4 Mei lepas, Anwar meluluskan peruntukan untuk Kedah membina infrastruktur di Kampung Sejahtera dengan menyediakan kos untuk pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya bagi setiap daerah.