FLORIDA, AMERIKA SYARIKAT - Kira-kira 50,000 penduduk, khususnya golongan warga emas di kawasan Tampa Bay, Florida diarah untuk kekal berada di dalam rumah pada Selasa susulan amaran kualiti udara berbahaya yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa persekutuan.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) menjangkakan tahap kualiti udara di kawasan metropolitan Tampa akan merosot ke zon 'oren' dalam Indeks Kualiti Udara (AQI), iaitu paras yang dianggap tidak sihat bagi kumpulan sensitif, termasuk mereka yang mengalami masalah pernafasan dan jantung.
Amaran tersebut memberi peringatan bahawa lebih 13 peratus penduduk Tampa yang berusia 65 tahun ke atas tidak digalakkan keluar rumah melainkan atas keperluan mendesak.
"Udara tercemar kali ini bukan berpunca daripada jerebu atau asap kebakaran hutan yang boleh dihidu, tetapi sejenis campuran bahan kimia seperti ozon dan zarah halus yang tidak kelihatan.
"Ia boleh meresap masuk ke paru-paru, melemahkan sistem imun serta memburukkan lagi keadaan penyakit kronik,” jelas seorang pakar paru-paru tempatan yang enggan dikenali, lapor MailOnline pada Selasa.
Menurut EPA, tahap AQI antara 101 hingga 150 adalah cukup untuk membahayakan individu yang menghidap asma, penyakit jantung, atau masalah pernafasan lain.
Simptom seperti batuk, semput, sesak nafas dan sakit dada mungkin menjadi lebih ketara, malah boleh menyebabkan komplikasi sehingga memerlukan rawatan kecemasan.
Pengarah Kanan Dasar Udara Bersih Kebangsaan dari Persatuan Paru-Paru Amerika, Katherine Pruitt berkata,"Amaran kesihatan ini hanya akan berkesan sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan berisiko menyedari kedudukan mereka dan mengambil langkah berjaga-jaga.”
Laporan ‘State of the Air 2025’ oleh Persatuan Paru-Paru Amerika turut mendedahkan lebih 156 juta rakyat Amerika, hampir separuh populasi negara itu, kini tinggal di kawasan yang mencatatkan paras ozon atau pencemaran zarah yang membimbangkan – peningkatan sebanyak 25 juta orang dalam tempoh setahun.
Walaupun Tampa merupakan satu-satunya kawasan yang diramal mencatat tahap udara tidak sihat pada hari Selasa, pakar kesihatan melihat situasi ini sebagai sebahagian daripada krisis kesihatan awam berpunca daripada perubahan iklim.
Sehingga kini, tiada amaran kecemasan rasmi dikeluarkan kerana tahap 'oren' kerana tidak memenuhi kriteria untuk pengisytiharan kecemasan. Namun, pakar perubatan menegaskan bahawa ketiadaan amaran rasmi tidak bermaksud risiko itu tidak wujud.
"Jangan ambil mudah hanya kerana pencemaran ini tidak boleh dilihat. Golongan warga emas harus menganggap situasi ini sama serius seperti gelombang haba atau taufan,” tambah pakar tersebut. -Agensi