20 penjawat awam timba ilmu kepimpinan di Thailand

Iklan
20 orang penjawat awam terpilih jalani latihan Kepimpinan di Bangkok, Thailand dibawah Program Pengurusan Strategik dan Pembangunan Eksekutif Kompeten (PROSPEK) 2025, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

KUALA LUMPUR - Demi memastikan lebih ramai kumpulan pengurusan dalam sektor kerajaan mempunyai kemahiran memimpin yang berkualiti, seramai 20 penjawat awam dipilih menjalani latihan melibatkan kepimpinan di Bangkok, Thailand di bawah Program Pengurusan Strategik dan Pembangunan Eksekutif Kompeten (PROSPEK) 2025.

Ia merupakan satu inisiatif Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan, Kluster Pembangunan Strategik Dalam Perkhidmatan Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Iklan
Iklan

Kursus yang bertajuk Etika Kepimpinan Melibatkan Produktiviti (Ethical Leadership for an Engaged & Productive Team) ini menyaksikan jurulatih daripada syarikat penyedia latihan kepimpinan terkemuka dari Amerika Syarikat iaitu Dale Carnegie berkongsi kepakaran mereka bersama para peserta.

Program enam hari ini mempunyai beberapa elemen yang menekankan bagaimana penjawat awam mampu bergelar pemimpin yang berkredibiliti di kementerian atau agensi dan organisasi di mana mereka berkhidmat.

Iklan

Menurut Pensyarah Kanan, Institut Aminudin Baki, Alias Mohamed Naim, program ini memberi banyak manfaat kepada para peserta yang dipilih oleh pihak JPA terutama dalam menerapkan nilai Malaysia Madani dalam kalangan penjawat awam.

ALIAS


"Antara objektif penganjuran PROSPEK ialah memajukan bakat kepimpinan yang terbaik kepada para pegawai yang terlibat.

Iklan

"Kami merasa sangat bertuah kerana daripada ratusan permohonan yang dihantar, kami merupakan kumpulan pertama yang terpilih menjalani latihan kepimpinan ini,” katanya.

Jelas beliau, selain terlibat dengan sesi pembelajaran dalam kelas yang melibatkan pelbagai aspek kepimpinan, para peserta juga dibawa melawat dan menerima penerangan mengenai pelaksanaan projek mega One Bangkok yang merupakan projek pembangunan bandar pintar yang melibatkan kos kira-kira RM20 bilion.

"One Bangkok direka dan dibangunkan sebagai kawasan bersepadu yang merangkumi bangunan pejabat dan perumahan komersial serta pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial yang menjadi nadi dan ikon terbaharu bandaraya Bangkok.

Selain itu, kata Alias lagi, para peserta juga diberi pendedahan mengenai projek pembangunan sumber manusia dan alam semulajadi di bawah Mae Fah Luang Foundation di Doi Tuang.

Menurut Penolong Pengarah (Unit Pengurusan Bakat), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Kumanan Kandasamy, Mae Fah Luang Foundation merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpusat di Chiang Rai.

KUMANAN


Katanya, ditubuhkan di bawah naungan keluarga Diraja Thailand, yayasan ini bertujuan memulihkan ketagihan candu dalam kalangan penduduk kampung dan meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan.

"Melalui pendekatan pembangunan lestari, Doi Tuang menggalakkan pertanian mesra alam, penghasilan kraftangan, pembangunan pendidikan dan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial yang mampan agar dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk yang terlibat.

"Produk seperti kopi, teh, barangan kraftangan dan produk kitar semua yang dihasilkan oleh penduduk di pergunungan Tuang dipasarkan secara meluas melibatkan jenama dan syarikat antarabangsa untuk berkolaborasi seperti Ikea dan Onitsuka Tiger.

"Kolaborasi seperti ini dapat menyumbang kepada ekonomi komuniti sambil memelihara alam sekitar,” jelasnya.

Sementara itu Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Penggalakan Inovasi dan Modal Insan Industri), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lim Siew May, menyifatkan PROSPEK memberi peluang kepada penjawat awam peringkat pengurusan menimba ilmu melibatkan kepimpinan dari perspektif yang berbeza.

LIM SIEW MAY


Katanya, setiap penjawat awam mempunyai kelebihan atau bakat yang tersendiri dan berbeza antara satu sama dengan yang lain.

"Apabila kita berbicara mengenai kepimpinan, ia tidak sahaja melibatkan pengalaman dan kemahiran serta usaha untuk mempelajarinya, malah ia memerlukan bakat.

"Justeru dengan adanya program PROSPEK anjuran JPA ini, ia memberi satu lonjakan paradigma agar kami dapat meningkatkan pengetahuan dan pengembangan kebolehan – keupayaan diri dalam pelbagai aspek, khususnya elemen kepimpinan.

"Selain itu, saya melihat setiap peserta yang terpilih mampu untuk menterjemahkan perkhidmatan yang berkualiti seiring dengan tuntutan dan cabaran semasa,” ujar May.

Bagi Pegawai Pembangunan Masyarakat di Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, Eric Gray Raymond Jos, beliau berharap lebih banyak program seumpama ini dianjurkan agar penjawat awam mampu menterjemahkan setiap polisi pembangunan insan dan kemajuan sosio ekonomi Malaysia.

ERIC GRAY


Ini kerana jika ingin melihat pembangunan Malaysia lebih mampan dan berdaya saing, lebih-lebih lagi melibatkan kapasiti Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, program PROSPEK memberi banyak manfaat untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti dalam kalangan penjawat awam.

"Kita tidak menafikan legasi kepimpinan generasi penjawat awam yang terdahulu, ia memberi impak yang amat membanggakan kerana berjaya membawa Malaysia kepada tahap yang amat membanggakan pada hari ini.

"Maka adalah wajar, legasi kepimpinan melalui tauladan ini diteruskan oleh generasi pemimpin muda dalam sektor kerajaan yang ada sekarang,” tegas Eric Gray.

Menurut Rosli Mohd Nordin pula yang merupakan Ketua Komunikasi & Pemasaran, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pula menegaskan, sebagai penjawat awam aspek kepimpinan menjadi tunjang bagi menentukan sektor perkhidmatan awam.

Beliau percaya setiap penjawat awam mempunyai kebolehan dan bakat dalam aspek kepimpinan, sama ada ia diasah dengan baik atau sebaliknya.

"Penyertaan saya dalam kursus atau latihan seumpama ini pastinya memberi nilai tambah tidak sahaja kepada semua para peserta khususnya, malah penjawat awam yang lain secara amnya,” jelasnya.

Turut menyertai program PROSPEK di Bangkok ini ialah Lydia Irffian Mohd Isa (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), Muhammad Faiz Amzar Mohd Arif (Jabatan Penerangan), Muhamad Razi Samsudin (Institut Kemahiran Belia Negara), Mohd Aznan Ibrahim (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup), Roslan Sapian (Jabatan Pendaftaran Negara), Muhammad Izzat Ismail (Kementerian Pendidikan Malaysia), Syadatul Amira Aminudin (Institut Kajian & Latihan Integrasi Naisonal) dan Suraya Saman (Kementerian Sumber Asli & Kelestarian Alam).

Turut serta ialah Dr. Maya Sofia Abdul Latif (Jabatan Perkhidmatan Veterinar), Rahmat Abdullah (Jabatan Penjara), Muna Muhammad (Pejabat Kemajuan Desa & Wilayah Negeri Kedah / Perlis / Pulau Pinang), Nor Raiha Che Hasan (Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, MOSTI), Nur Dalila Rahmad (Jabatan Perkhidmatan Awam), Nor Ilyani Inche Kamarudin (Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan) dan Mohamad Ezmeer Dato’ Hisan (Kementerian Pengangkutan).

Lydia, Ilyani, Muna, Raiha & Shafinaz antara peserta kumpulan pertama yang dipilih menyertai PROSPEK 2025.


Untuk rekod, JPA giat menganjurkan pelbagai kursus dan program berkaitan pembangunan sumber manusia yang direka khusus sesuai dengan keperluan semasa dan perubahan gaya hidup tidak sahaja melibatkan Malaysia, malah peringkat global.

Bagi penjawat awam yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kursus dan program yang berkaitan, akses laman sesawang JPA di www.jpa.gov.my.