PONTIAN – Bau busuk dari tong kitar semula yang dicemari sisa makanan dan sampah basah di Kampung Batu 30, Pengkalan Raja, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.
Tong yang sepatutnya digunakan untuk mengumpul barangan kitar semula seperti pakaian, kasut dan mainan kanak-kanak itu kini dipenuhi dengan bekas makanan, minuman dan sisa makanan di sekelilingnya, sekali gus mencacatkan fungsi asalnya.
Ketua Kampung Kawasan 4 Mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Kasbon Kasron berkata, perkara tersebut telah menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk kerana tong kitar semula itu terletak berhampiran kawasan tumpuan ramai termasuk klinik desa.
"Bau hanyir dan kehadiran ulat dari sisa makanan menyebabkan suasana tidak menyenangkan, lebih-lebih lagi tong ini terletak berdekatan hentian bas.
"Ada juga yang menyangka tong ini adalah tong sampah biasa, lalu membuang segala jenis sampah tanpa mengikut panduan,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Menurut Kasbon, usaha untuk menghubungi pihak yang menyediakan tong tersebut tidak berhasil walaupun nombor telefon telah dipaparkan.
Penduduk, Mohamad Ferul Azhar Mohamed, 42, berkata suasana tidak selesa turut dirasai pelanggan warung dan pengunjung gerai buah-buahan berhampiran.
"Warung kopi tersebut menjadi tumpuan kepada orang ramai terutama pada hujung minggu dan cuti umum, namun terdapat tong sampah kitar semula berhampiran dengannya.
"Kalau sampah kering kami tiada masalah, tetapi sampah-sampah basah termasuk bekas polistirena makanan dan minuman juga dibuang tanpa ada rasa malu dan segan,” ujarnya dengan penuh rasa kesal.
Justeru beliau, berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera sama ada memindahkan atau memantau tong tersebut secara berkala.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng berkata, pihaknya sudah maklum mengenai aduan terbabit dan beberapa tindakan akan diambil bagi mengatasi isu sampah di kawasan tong kitar semula terbabit.
"Tong kitar semula itu disediakan badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan membantu dan mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula. Namun, kita kesal ada yang menyalahgunakannya sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk setempat.
"Justeru, saya sudah mencadangkan agar kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan titik panas tersebut selain meminta bantuan syarikat pembersihan membersihkan kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.