Pemandu e-hailing dakwa dikepung 3 kereta, Pamela ‘dilarikan’ sebelum tiba di SPRM

Iklan
Pamela Ling Yueh

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing mendakwa telah dipaksa menekan butang lengkapkan perjalanan dalam aplikasi sebelum penumpangnya, Pamela Ling Yueh, 42, dibawa keluar secara paksa ketika menghantar wanita itu dari Velocity Tower, Cheras ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.

Individu yang dikenali sebagai Kok, 50-an berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang, apabila Pamela kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan oleh beberapa individu yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang perjalanan, Pamela tidak banyak bercakap, namun sempat membuat satu panggilan telefon.

"Saya tidak dengar dengan jelas perbualannya kerana dia bercakap secara perlahan. Namun, keadaan tenang sahaja sehinggalah kami hampir tiba di bangunan SPRM.

Iklan

"Keadaan tiba-tiba berubah apabila tiga kereta muncul dan mengepung kenderaan saya dari arah depan, belakang dan sisi,” katanya pada Selasa.

Tambah Kok, tiga individu keluar dari dua kereta berkenaan.

Iklan

"Mereka terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita. Seorang lelaki dan wanita itu memakai pakaian menyerupai seragam polis, manakala seorang lagi lelaki memakai vest yang tertulis ‘Polis’.

"Mereka menghampiri saya dan memaklumkan bahawa penumpang saya akan ditahan bagi membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis,” katanya.

Menurut Kok, Pamela pada awalnya enggan keluar dari kenderaan, menyebabkan wanita berseragam itu cuba menariknya keluar secara paksa.

"Kemudian, dua lelaki tersebut memberikan penjelasan bahawa ini merupakan satu tangkapan dan dia (Pamela) akan dibawa ke balai polis berdekatan.

"Pamela akhirnya akur dan sebelum keluar, dia sempat memberikan saya wang tunai sebanyak RM100 sebagai bayaran tambang,” katanya.

Tambah Kok lagi, dia diarahkan untuk menekan butang lengkapkan perjalanan dalam aplikasi Grab sebelum kad pengenalannya, lesen memandu, dan nombor telefon diambil oleh kumpulan terbabit.

"Mereka terus beredar selepas itu. Saya pula segera membuat laporan polis.

"Kejadian ini menyebabkan saya tidak dapat bekerja selama dua minggu kerana perlu menunggu lesen baharu siap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa telah dilarikan oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar.

Beliau memaklumkan bahawa pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa pula berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berkaitan kehilangan wanita berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita dipercayai hilang selepas gagal hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.