Polis Johor tahan 21 individu, sita 143 motosikal

Iklan
Seramai 21 individu dan menyita 143 motosikal dalam Op Motosikal di beberapa lokasi di seluruh Johor. Foto IPK Johor

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seramai 21 individu dan menyita 143 motosikal dalam Op Motosikal di beberapa lokasi seluruh negeri selama empat hari bermula 1 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, individu yang ditahan berusia antara 15 hingga 56 tahun dan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut undang-undang sedia ada.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah tersebut, seramai 16 individu tempatan ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

"Sementara itu, seorang lagi turut ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga individu lain ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau turut memaklumkan seorang warga asing ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tambahnya, sepanjang tempoh operasi itu juga, sebanyak 1,127 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Iklan

"Kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi mencatatkan jumlah saman tertinggi iaitu 232 keping, diikuti kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 226 saman,” ujarnya.

Menurut beliau, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang.

"Polis Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada,” tegasnya.