SHAH ALAM – Pemasangan kamera perangkap had laju disarankan diperluas ke kawasan luar bandar dan pekan kecil bagi membendung pelanggaran lampu isyarat merah yang semakin membimbangkan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, penguatkuasaan menyeluruh melalui kamera dapat meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
"Penggunaan kamera penguatkuasaan sangat penting untuk menangkap pemandu yang melanggar lampu merah dan had laju, namun ketika ini ia masih tertumpu di bandar-bandar besar,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau turut mencadangkan pemasangan lampu isyarat digital countdown atau bernombor pada lampu isyarat supaya pemandu lebih bersedia dan tidak terkejut sehingga memecut secara berbahaya.
Difahamkan ia adalah lokasi sama kemalangan maut yang pernah meragut tiga sekawan yang dirempuh sebuah kereta Honda Jazz juga dipercayai melanggar lampu isyarat merah Mac lalu.
Teik Hua turut mencadangkan aspek reka bentuk jalan seperti simpang berperingkat, yang mampu mengurangkan konflik laluan bersilang dan risiko perlanggaran.
"Penguatkuasaan perlu lebih ketat, termasuk denda lebih tinggi serta penggantungan lesen secara automatik bagi kes serius. Ia bukan sahaja bersifat hukuman, tetapi pencegahan,” katanya.
Menurut beliau, sistem seperti AES, lampu isyarat pintar, saman dan pengurangan mata demerit (sistem Kejara) secara teknikal membantu, namun tidak mencukupi kerana penguatkuasaan tidak menyeluruh.
"Masih ramai pemandu ambil mudah peraturan kerana yakin tidak akan ditangkap.
"Tambahan pula, ada lokasi dengan reka bentuk simpang mengelirukan dan kurang papan tanda,” jelasnya.
Beliau menyarankan kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan secara berterusan bagi menyegarkan semula pengetahuan pemandu berlesen.