Gunung Rinjani indah tetapi berisiko

Iklan
Noor Maizatul Hazra ketika mendaki di kawasan curam di Gunung Rinjani. Gambar kecil: Mat Radzuan

SHAH ALAM – Gunung Rinjani di Lombok disifatkan sebagai antara lokasi pendakian yang agak mencabar di Indonesia kerana terdapat beberapa laluan bercuram, berpasir dan terdedah kepada cuaca ekstrem.

Penganjur ekspedisi daripada kumpulan We Outdoor Lover (WOL), Noor Maizatul Hazra Yahaya berkata, peningkatan jumlah pendaki sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan kawasan yang dahulunya dipenuhi rumput kini terhakis dan ‘botak’ seterusnya menjadikan trek lebih terbuka dan semakin berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

Noor Maizatul Hazra

Menurutnya, antara laluan yang berisiko ialah jalur pendakian dari Danau Segara Anak ke Sungai Torean menuju Desa Torean kerana perlu melalui lereng-lereng bukit yang berpasir dan tidak mempunyai tumbuhan.

Iklan

"Laluan dari puncak Rinjani ke Desa Torean mengambil masa enam hingga tujuh jam dan menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi, lebih-lebih lagi dengan bebanan peralatan serta faktor cuaca yang tidak menentu.

"Rumput yang sudah terhakis menjadikan tanah di jalur Torean lebih licin terutama ketika hujan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Noor Maizatul Hazra turut menasihatkan pendaki agar membuat persiapan rapi sebagai persediaan sekiranya mengalami tekanan mental dan keletihan melampau.

"Saya pernah lihat sendiri pendaki meraung ketika naik ke puncak Rinjani kerana kesejukan dan kesukaran mendaki. Pendakian ini bukan sekadar ikut kawan, jika tidak bersedia boleh membahayakan diri dan kumpulan.

"Oleh sebab itu mereka yang ingin memulakan pendakian perlu memastikan diri benar-benar layak dan bersedia sebelum memulakan pendakian. Rinjani memang cantik tetapi risiko di sebaliknya sangat tinggi jangan pandang ringan,” jelasnya.

Bekas Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin, 45, yang pernah menjejakkan kaki ke Gunung Rinjani berkata, semua orang mampu mendaki gunung berkenaan dengan syarat mempunyai stamina.

Hafez Shuriddin

Jelasnya, pada masa yang sama pendaki perlu sentiasa mengikut arahan dan tidak berpecah daripada kumpulan masing-masing.

"Kalau ikutkan Gunung Kinabalu lagi berisiko. Bagi saya Rinjani tidaklah mencabar sangat selagi mengikut arahan yang diberikan oleh ketua.

"Memang jalur pendakian berpasir dan berisiko tetapi kalau guide kata berhenti jangan pula kita tidak endah terutama ketika angin kencang kerana mungkin boleh tergelincir.

"Berdasarkan pengalaman saya pergi ke Rinjani lima tahun lepas, angin tiup pun kita akan rasa goyang. Sebab itu penting berhenti dan duduk mencangkung sekejap sebelum sambung perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Malim Gunung Perhutanan Melaka (MGP), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Mat Radzuan Abdul Razak, 50, memberitahu, para pendaki yang merancang untuk menawan mana-mana gunung perlu melakukan persediaan fizikal dan mental yang mencukupi.

Hafez (empat dari kanan) ketika mendaki Gunung Rinjani.

Katanya, ia termasuk kajian awal mengenai laluan trek, tahap kesukaran, pakaian dan peralatan yang sesuai bagi memastikan keselamatan serta kejayaan ekspedisi.

"Kalau boleh buat persiapan sebulan awal, peserta disarankan menyertai kumpulan Whatsapp dan bertanya lebih awal tentang tentatif program serta maklumat trek daripada ‘gogo’ yang berpengalaman.

"Ramai yang tidak bersedia dari segi fizikal, kalau tak pernah joging atau latihan membawa beban berat, memang akan sukar terutamanya yang mendaki berhari-hari. Setiap tempat ada trek yang berbeza dan memerlukan teknik berlainan.

"Pendaki juga dinasihatkan untuk membawa peralatan wajib termasuk wisel, lampu kepala, makanan tenaga segera seperti pisang dan kurma walaupun mendaki di waktu siang. Kajian mengenai liputan rangkaian telefon di kawasan tertentu turut penting bagi tujuan komunikasi dan kecemasan,” jelasnya.