Waspada ‘pemerhati tak senonoh’ di media sosial

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan remaja sunting gambar lucah guna AI.

DALAM era digital serba pantas ini, media sosial menjadi medium utama untuk berkongsi detik kehidupan.

Namun, dalam keghairahan memuat naik gambar, ramai terlupa dunia maya ini sentiasa dipenuhi mata-mata yang tidak kelihatan.

Iklan
Iklan

Apa sahaja yang dikongsi hari ini boleh menjadi senjata terhadap diri sendiri di masa hadapan.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kes seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan kerana disyaki menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyunting gambar lucah dan menjualnya secara dalam talian.

Iklan

Menurut laporan polis, remaja itu memperoleh gambar mangsa dari akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI.

Ia menunjukkan betapa mudahnya maklumat peribadi disalahgunakan apabila terlalu terbuka di alam maya.

Iklan

Realitinya, dunia digital ini bukan sahaja dihuni oleh rakan-rakan yang kita kenali. Ada ‘pemerhati’ yang sentiasa mencari peluang untuk mengeksploitasi kecuaian pengguna.

Sekeping gambar tanpa kita sedar boleh disunting menjadi bahan lucah, dijadikan alat pemerasan, atau disebarkan tanpa izin.

Jika diperhalusi, kes ini menimbulkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan teknologi dalam kalangan golongan muda dan keperluan mendesak untuk mendidik mereka tentang etika serta tanggungjawab moral di sebalik setiap tindakan dalam dunia digital.

Justeru, pendidikan digital kepada remaja perlu diberi penekanan yang lebih serius.

Remaja harus sedar bahawa dunia maya mempunyai ‘ingatan’ yang kekal, apa yang dimuat naik, walaupun dipadam kemudian, mungkin sudah disimpan oleh pihak lain.

Selain itu, tindakan menyunting dan menyebarkan gambar lucah bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga memberi kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa.

Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting membimbing anak-anak mengenai penggunaan teknologi secara beretika.

Ibu bapa juga perlu lebih peka dan mengambil pendekatan proaktif dengan memantau aktiviti media sosial, hadkan masa semasa menggunakan gajet bukan untuk mengongkong tetapi untuk melindungi anak-anak daripada terjebak perkara tidak senonoh.

Memberi kefahaman tentang privasi, bahaya pendedahan berlebihan, bahaya penyalahgunaan teknologi dan kepentingan menjaga privasi serta menghormati orang lain perlu diterapkan sejak kecil.

Sekolah juga harus menyediakan program pendidikan digital yang menekankan aspek etika dan tanggungjawab dalam penggunaan teknologi.

Sementara bagi satu lagi tuduhan, remaja berkenaan mengaku bersalah memiliki 14 keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya.

Pihak berkuasa juga menasihatkan orang awam yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan bagi tindakan lanjut.

Kes ini menjadi peringatan kepada kita semua tentang pentingnya mendidik generasi muda mengenai penggunaan teknologi secara berhemah dan tidak berlebihan.

Bimbingan yang betul dan pendidikan yang sesuai, kita dapat mencegah penyalahgunaan teknologi dan melindungi masyarakat daripada kesan negatif.

Dunia digital bukan tempat untuk terlalu ‘syok sendiri’.

Sebelum memuat naik gambar atau maklumat peribadi, fikirkanlah, siapa yang mungkin melihat?

Bagaimana jika ia jatuh ke tangan yang salah? Maruah dan keselamatan diri bukan sesuatu yang boleh digadai hanya kerana mencari perhatian atau mengejar ‘like’ di media sosial.

Ingatlah, dalam dunia digital, jaga-jaga kerana ramai yang sentiasa memerhati tanpa kita sedar.

Namun dalam dunia realiti, Tuhanlah sebaik-baik Pemerhati.

*Syairah Ab Lajis ialah Sub Editor Sinar Harian